KUALA LUMPUR 13 Jun – Malaysia mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan dalam semua sektor sebanyak RM29.3 bilion bagi suku pertama 2019, peningkatan 73.4 peratus berbanding RM16.9 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kenaikan 73.4 peratus bagi suku pertama 2019 disumbangkan oleh peningkatan pelaburan yang ketara sebanyak 127 peratus ke dalam sektor pembuatan kepada RM20.2 bilion daripada RM8.9 bilion pada tahun lepas.
Katanya, daripada RM20.2 bilion FDI yang diluluskan tersebut, RM11.5 bilion disumbangkan Amerika Syarikat, RM4.4 bilion dari China dan RM2.2 bilion dari Singapura.
“Peningkatan tersebut antara lain menunjukkan Malaysia sedang menikmati manfaat yang berterusan daripada lencongan perdagangan dan pelaburan terutama sekali apabila FDI yang diluluskan untuk keseluruhan 2018 telah meningkat 48 peratus kepada RM80.5 bilion daripada RM54.5 bilion pada 2017.
“FDI yang diluluskan untuk semua sektor bernilai RM29.3 bilion bagi suku pertama 2019 itu dijangka mewujudkan lebih daripada 41,200 peluang pekerjaan baharu, yang mana 22,970 pekerjaan tergolong dalam sektor pembuatan dan 18,000 dalam sektor perkhidmatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kadar pertumbuhan pengeluaran perindustrian bagi April 2019 juga merupakan yang tertinggi dalam tempoh enam bulan, mengatasi unjuran pasaran.
Katanya, bagi pengeluaran perindustrian untuk April 2019, indeks pengeluaran perindustrian tumbuh dengan lebih pantas kepada empat peratus bagi tahun ke tahun berbanding 3.1 peratus pada Mac.
“Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan sektor pembuatan dan juga pemulihan pengeluaran dalam sektor perlombongan.
“Untuk pengetahuan umum, pengeluaran perindustrian bagi Mac adalah lebih tinggi daripada kadar 2.3 peratus yang dijangka oleh pasaran berdasarkan kepada kaji selidik yang dijalankan Bloomberg,” katanya.











