FAMA sedia bantu pesawah - Utusan Malaysia

FAMA sedia bantu pesawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia untuk membantu pesawah yang ingin meningkatkan pendapatan mereka melalui perusahaan tanaman kontan dengan menyediakan pasaran dan bimbingan bagi menghasilkan tanaman yang berkualiti.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata, pihaknya memiliki sebanyak 3,334 pusat jualan di seluruh negara termasuk pasar-pasar tani yang boleh dimanfaatkan pesawah untuk memasarkan hasil tanaman mereka.

Menurutnya, agensi itu juga pada masa sama bersedia memberi maklumat berkaitan jenis tanaman yang sesuai ditanam golongan itu berdasarkan kajian jumlah permintaan yang dilaksanakan FAMA.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita menyambut baik saranan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar pesawah melibatkan diri dalam tanaman kontan seperti buah-buahan dan sayuran kerana sumbangan mereka juga mampu mengurangkan jumlah import selain menawarkan bekalan yang segar pada harga berpatutan kepada pengguna.

“Terdapat beberapa jenis tanaman yang kita boleh syorkan seperti tembikai, jagung manis, cili, timun dan pelbagai lagi yang boleh diusahakan oleh para pesawah mengikut lokasi, jenis tanah dan kesesuaian waktu menanam,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri FAMA negeri, di sini hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir berkata, kerajaan mengenal pasti beberapa langkah untuk menangani kemiskinan golongan pesawah yang selama ini bergantung kepada pemberian subsidi.

Mengulas lanjut, ujar Ahmad, pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menggerakkan usaha tersebut bagi membantu pesawah mempelbagaikan pendapatan mereka.

“Penjanaan peserta-peserta di lebih 3,000 pusat jualan di bawah FAMA kini mencecah hampir RM2.3 bilion, jadi pesawah perlu merebut peluang ini kerana permintaan terhadap buah-buahan dan sayuran sentiasa ada,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata, kira-kira 200 lagi pasar tani dijangka beroperasi pada tahun depan sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,000 pasar tersebut di seluruh negara berbanding kira-kira 800 buah ketika ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini