Empat lagi mayat Orang Asli Batek dibawa keluar - Utusan Malaysia

Empat lagi mayat Orang Asli Batek dibawa keluar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Polis berjaya membawa keluar empat lagi mayat Orang Asli suku Batek yang maut akibat penularan penyakit radang paru-paru di Kampung Kuala Koh, di sini untuk menjalani proses bedah siasat di Hospital Gua Musang.

Tiga daripada empat mayat berkenaan merupakan antara lapan mayat mangsa yang telah ditanda terlebih dahulu oleh pasukan pencari, kelmarin dan mereka dibawa keluar dari pada pukul 5.55 petang ini.

Identiti mereka dikenal pasti sebagai Din Hamdan, 18, serta pasangan adik beradik Fayah Papan, 19, dan Safia Papan, 18.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementara itu, satu lagi mayat dikenal pasti sebagai Puja Joh, 20-an, yang merupakan salah seorang daripada dua mangsa yang kematian mereka dilaporkan secara rasmi kepada polis sebelum ini. Mayat Puja dibawa keluar pukul 10 pagi ini bagi menjalani bedah siasat kali kedua.

Seorang lagi mangsa yang perlu menjalani bedah siasat kali kedua ialah Roni Hamdan, 29, yang berjaya dibawa keluar semalam.

MOHD. TAUFIK MAIDIN
MOHD. TAUFIK MAIDIN 

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Taufik Maidin ketika ditemui pemberita berkata, berdasarkan maklumat awal, Din, Fayah dan Safia dipercayai meninggal dunia antara 20 hingga 22 Mei lalu.

“Ketiga-tiga mereka disemadikan agak jauh antara satu sama lain, iaitu sekitar dua hingga lima kilometer.

“Baki lima mayat yang telah dijumpai dan ditanda semalam serta kelmarin akan dibawa keluar secara berperingkat-peringkat esok,” katanya selepas Op Batek hari ketiga tamat di Felda Aring 10 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Taufik berkata, susulan tindakan pihaknya membawa keluar mayat-mayat terbabit, kertas siasatan telah dibuka dan pegawai penyiasat kini giat menemubual serta merekod kenyataan waris mangsa.

Beliau turut memberitahu, Op Batek bagi menanda baki empat lagi mayat mangsa terakhir akan bersambung esok dan operasi tersebut dijangka lebih mencabar kerana pasukan pencari perlu menempuh perjalanan kira-kira lima jam menyusuri Sungai Lebir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini