SHAH ALAM 14 Jun – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor menasihati semua pengguna supaya jangan meminum susu mentah yang tidak diproses dengan sempurna.
Peringatan itu diberikan berikutan terdapatnya kes pelanggaran susu kambing segar mengandungi bakteria brucella yang berlaku di sebuah ladang ternakan kambing di Pulau Indah, dekat sini sehingga merekodkan lapan kes.
Pengarahnya, Datuk Dr. Khalid Ibrahim berkata, sampel yang diambil di ladang tersebut mendapati susu kambing itu terdapat bakteria brucella selain melanggar Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983.
Menurut Dr. Khalid, pengambilan susu mentah adalah berisiko terutama kepada individu yang mempunyai daya tubuh (sistem imun) yang rendah seperti warga emas, wanita mengandung, kanak-kanak dan bayi.
“Susu mentah boleh tercemar disebabkan pencemaran atau jangkitan pada haiwan yang boleh mengakibatkan penyakit kepada manusia. Komposisi susu boleh menjadikan ia sebagai media yang baik untuk pertumbuhan pelbagai bakteria berbahaya termasuk brucella spp dan mycrobacterium spp.
“Sekiranya membeli susu mentah, pastikan susu tersebut dimasak atau dididih sebelum diminum. Pengguna diminta meminum susu yang telah sedia dipasteur atau disteril seperti ultra heat treatment (UHT) serta membaca label bagi mengetahui suhu penyimpanan dan tarikh luput,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.
Tambah Dr. Khalid, sekiranya pengguna mengalami tanda atau gejala yang dikaitkan dengan pengambilan susu mentah, mereka diminta segera mendapatkan rawatan di klinik berdekatan.
“Selain itu, penjual atau pengusaha susu diingatkan supaya mematuhi kehendak penjualan seperti termaktub di bawah Peraturan 51, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 iaitu tidak boleh menjual susu yang tidak diproses serta mengikuti kaedah yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











