PUTRAJAYA – Pelaksanaan sistem tender dalam talian (e-bidding) pendaftaran nombor plat kenderaan bagi negeri buat pertama kalinya akan dilaksanakan di Kuala Lumpur bermula 21 Jun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, e-bidding yang menawarkan ketelusan permohonan nombor plat kenderaan bagi negeri-negeri lain pula akan dilaksanakan secara berperingkat.
Katanya, bidaan nombor kenderaan di Kuala Lumpur bermula dari siri VDN akan dibuka selama lima hari pada 12 tengah malam 21 Jun sehingga 11.59 malam 25 Jun ini.
“Sehubungan itu, pendaftaran boleh dilakukan di portal https://.jpjebid.jpj.gov.my atau melalui aplilasi mudah alih JPJeBid.
“Ianya terbuka kepada warga dan penduduk tetap Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas serta perniagaan atau syarikat berdaftar,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, ujar Anthony lagi, orang ramai atau syarikat yang tidak pernah mempunyai rekod dalam sistem MySikap perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu di mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.
Pada masa sama, beliau menambah, harga bidaan siri VPN bermula dari RM300 sehingga RM20,000 iaitu bergantung kepada kategori tertentu manakala kenaikan bidaan minima adalah sebanyak lima peratus.
“Jika sebelum ini, kita menggunakan kaedah bidaan secara manual dengan permohonan perlu menghantar borang ke kotak disediakan, tetapi kali ini semua urusan dibuat dalam talian termasuk kaedah pembayaran.
“Kaedah ini menawarkan ketelusan daripada transaksi pendaftaran dan memudahkan orang ramai serta menjimatkan masa,” katanya. – UTUSAN ONLINE











