KUALA LUMPUR – Seorang lelaki kerugian RM60,000 selepas rumahnya di Taman Sri Gombak, Batu Caves dekat sini semalam dipecah masuk.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun baru sahaja pulang dari kampungnya di Kedah sebelum mendapati rumahnya berselerak.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Arshad Kamaruddin berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa telah meninggalkan rumahnya pada 6 Jun lalu kira-kira pukul 3 pagi dalam keadaan berkunci.
Ujarnya, namun setiba sahaja dia pulang ke rumahnya, dia mendapati kediaman itu dalam keadaan berselerak selain terdapat mendapati kesan umpil pada tingkap bilik bawah serta siling tingkat atas terbuka.
“Pemeriksaan mangsa mendapati wang tunai berjumlah RM300, cincin emas, subang emas, kerongsang emas, komputer riba milik syarikatnya dan telefon bimbit hilang dilarikan penjenayah.
“Berikutan Kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM60,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Arshad memberitahu, modus operandi yang digunakan penjenayah adalah memasuki rumah terbabit melalui siling di tingkat atas sebelum keluar menerusi tingkap bilik.
“Semakan mendapati mangsa tidak mengisi borang pemakluman balik kampung sebelum meninggalkan rumah berkenaan,” jelasnya.
Dalam kes berasingan, Arshad berkata, pihaknya turut menerima satu lagi laporan pecah rumah di kawasan perumahan terbabit pada 8 Jun lalu.
“Seorang wanita berusia 33 tahun memaklumkan dia menyedari rumahnya dipecah masuk apabila mendapati tingkap kediaman itu pecah dan dalam keadaan berselerak sebaik tiba di rumahnya kira-kira pukul 9.30 malam.
“Pemeriksaan dilakukan mangsa mendapati sebuah kamera miliknya yang dianggarkan bernilai RM1,000 telah hilang,” katanya.
Tambah Arshad, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan rumah jiran mangsa mendapati terdapat kelibat suspek yang menutup mukanya menggunakan tangan.
“Usaha memburu suspek bagi kedua-dua kes terbabit sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











