KUALA LUMPUR – Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya di Kota Samarahan, Sabah semalam.
Dalam kejadian 8 malam itu, pembonceng motosikal berkenaan maut akibat terperosok ke bawah lori manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, ketika kejadian, lori terbabit dalam perjalanan dari arah Sadong Jaya menuju ke Kota Samarahan.
“Ketika melalui selekoh, motosikal dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan. Situasi berkenaan mengakibatkan lori itu tidak sempat mengelak lalu bertembung.
“Akibat daripada pelanggaran itu, motosikal mangsa terperosok masuk ke bahagian bawah lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Alexson, siasatan awal mendapati, ketika kejadian keadaan cuaca berada dalam keadaan baik.
“Kedua-dua mangsa berusia 22 dan 34 tahun berasal dari Kampung Jemukan Tengah, Sadong Jaya dan mayat mereka kemudiannya dibawa ke Bahagian Forensik, Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
“Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.- UTUSAN ONLINE











