Dua kumpulan proses air ketum ditahan polis - Utusan Malaysia

Dua kumpulan proses air ketum ditahan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Dua kumpulan disyaki memproses dan menjual air ketum ditumpaskan selepas polis menahan 11 lelaki dalam dua serbuan berasingan di Bukit Mertajam di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pihaknya telah menyerbu sebuah rumah di Bukit Teh kira-kira pukul 5.45 petang dan menahan tiga lelaki berusia 18 hingga 26 tahun.

“Pemeriksaan di dalam bilik air telah menjumpai sebuah tong ais mengandungi 48 bungkusan air ketum bernilai RM480 dipercayai diproses oleh suspek sebelum ia dijual kepada pelanggan tetap mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka didapati menjual air itu kepada pelanggan tetap sahaja di sekitar kawasan Bukit Mertajam bagi mengelak kegiatan dikesan pihak berkuasa,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Tok Elong kira-kira pukul 7.30 petang, pihaknya menahan lapan lelaki berusia 21 hingga 43 tahun.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah milik salah seorang daripada mereka itu telah menemui 28 bungkusan air ketum bernilai RM280 yang telah siap diproses dan untuk dijual.

“Selain dijadikan tempat memproses air tersebut, sindiket berkenaan dipercayai turut menjadikan rumah itu sebagai tempat untuk pelanggan mereka minum air ketum,” katanya lagi.

Nik Ros Azhan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kedua-dua kumpulan berkenaan memperolehi bekalan daun ketum dari negeri jiran sebelum memprosesnya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini