KOTA BHARU – Dua lelaki yang juga merupakan adik beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memberi rasuah RM10,000 kepada seorang pegawai polis, Isnin lalu.
Tertuduh Wan Mohd Faizal Wan Marzuki, 31, dan abangnya Wan Mohd Fikri, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.
Mengikut pertuduhan Wan Mohd Faizal didakwa memberi rasuah wang tunai RM10,000 kepada Inspektor Rozaimi Bakhtiar yang juga Pegawai Kanan Polis Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kubang Badak Terengganu.
Wang itu sebagai dorongan kepada Rozaimi untuk berbuat sesuatu berhubung dengan hal ehwal prinsipalnya untuk tidak mengambil tindakan terhadap tertuduh yang ditahan atas kesalahan memiliki 787 kilogram daun ketum.
Kesalahan dilakukan di Kampung Kedondong, Pasir Mas pada jam 10 malam 27 Mei lalu.
Pendakwaan terhadap Wan Mohd Faizal dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Wan Mohd Fikri pula didakwa menyediakan wang sebanyak RM10,000 tersebut untuk diberikan secara rasuah kepada polis sama supaya tidak mengambil tindakan ke atas adiknya itu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Adha Amir Yasser Amri, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 seorang dengan seorang penjamin dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamanh sebelum menetapkan sebutan semula kew pada 2 Julai depan.
Difahamkan, mereka berdua membayar jaminan tersebut. – UTUSAN ONLINE











