Didik masyarakat dalam bidang estetik - Utusan Malaysia

Didik masyarakat dalam bidang estetik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEREKA ibarat mentor dan mentee. Bersama-sama mengharungi cabaran dalam bidang estetik yang kini disifatkan sebagai tempoh paling kritikal ekoran pendedahan meluas terhadap bidang kecantikan yang dikatakan lebih banyak mengundang bahaya.

Justeru, Dr. Suzana Hasnan, 54 dan Dr. Siti Norbazilah Mohammed Zain, 32, berusaha memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat agar memilih pakar bertauliah untuk mendapatkan kulit cantik dan sihat, bukannya memilih mereka yang tidak bertauliah semata-mata kerana teruja untuk kelihatan cantik tetapi dengan harga yang murah.

“Kami cuba beritahu orang ramai agar jangan menggunakan khidmat pihak yang kononnya pakar kecantikan tetapi tidak bertauliah. Kita sendiri tidak tahu produk yang digunakan dan bahan yang disuntik. Sudah timbul masalah barulah cari doktor. Ini adalah salah satu masalah kita. Sekarang lagi ramai yang buat (prosedur kecantikan) tanpa tauliah. Satu cabaran kepada masyarakat,” kata Dr. Suzana.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun kedua-duanya mengakui, lebih banyak nasihat diberikan semakin ramai yang menggunakan khidmat golongan berkenaan. Terkini golongan terbabit menggunakan pendekatan lebih mudah iaitu memberi perkhidmatan dari rumah ke rumah tanpa kawalan pihak berkuasa.

“Akhirnya pelanggan tertipu dan apabila timbul masalah mereka datang kepada kami dan tugas kami pula yang terpaksa melakukan proses baik pulih gara-gara kesilapan mereka,” ujar Dr. Suzana.

Dr. Suzana berpengalaman dalam bidang perubatan estetik selama 18 tahun, juga merupakan kumpulan pertama pemegang lesen Letter of Credential Privilege (LCP). Beliau adalah antara kumpulan pertama doktor estetik di negara ini yang pada mulanya hanya berjumlah 20 orang.

Dr. Suzana adalah pemegang ijazah perubatan dari Universiti Malaya (UM) yang kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang dermatologi di Universiti Cardiff United Kingdom (UK). Dr. Siti Bazilah pula adalah lulusan Sekolah Perubatan Antarabangsa MSU di Bangalore, India.

Kisah pertemuan mereka bermula apabila Dr. Siti Bazilah yang ketika itu bertugas di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru menjalani latihan perubatan estetik di klinik Suzana milik Dr. Suzana di negeri yang sama.

Kata Dr. Bazilah, beliau kemudian menyatakan hasratnya kepada Dr. Suzana untuk membuka klinik estetik dan mendapat sokongan penuh daripada mentornya itu.

“Pada masa itu saya telah mempunyai ramai pengikut dalam media sosial, Instagram yang saya gunakan untuk berkongsi tip penjagaan kulit dan penyakit kulit. Mereka turut memberi sokongan kepada saya untuk membuka klinik estetik,” kata Dr. Siti Bazilah yang kini menunggu kelahiran anak ketiga.

Akhirnya pada penghujung tahun lalu Klinik Dr. Bazilah di Bangi dibuka secara rasmi dengan menggabungkan tenaga pakar perubatan estetik baharu dan lama.

Menurut Dr. Suzana, tugasnya bukan sahaja sebagai doktor estetik tetapi dari semasa ke semasa turut mengajar dan melatih pelapis doktor muda yang berminat dan cenderung untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan estetik.

“Minat untuk mengajar dan melatih doktor muda ini kerana saya nampak bisnes bidang estetik dan kecantikan semakin hari semakin berkembang dan terlampau ramai yang bukan pakar terlibat dalam bidang ini terutama melakukan prosedur-prosedur yang tidak sepatutnya dilakukan termasuk berkaitan pembedahan dan suntikan,” katanya.

Sehingga kini lima anak didiknya telah berjaya membuka sendiri klinik estetik masing-masing selepas menjalani latihan di kliniknya.

Ditanya tentang masalah kulit dialami masyarakat sekarang berbanding masyarakat dahulu, Dr. Suzana berkata, dahulu kebanyakannya membabitkan masalah jerawat dan parut jerawat selain menghilang kedutan pada wajah.

“Tetapi sekarang semakin ramai yang hendak kulit putih selain mahu menghilangkan jeragat dan menegangkan kulit,” ujarnya.

Dr. Siti Bazilah pula memberitahu, antara cabaran yang dihadapi semasa bertugas ialah kepercayaan pesakit terhadapnya apatah lagi melihat beliau yang masih muda.

“Selalunya pesakit akan bertanya doktor ini muda lagi tetapi apabila saya bercerita tentang pengalaman ketika bertugas di bahagian kulit di hospital barulah mereka yakin, Bagi saya ini adalah cabaran yang perlu saya hadapi di peringkat permulaan dan membuktikan keupayaan saya untuk memberi rawatan yang terbaik untuk pesakit,” katanya.

Kata Dr. Suzana, situasi yang dilalui oleh Dr. Siti Bazilah itu sama seperti beliau hadapi ketika mula-mula berkecimpung dalam bidang estetik.

“Cuma situasi dahulu sangat berbeza. Kita tiada telefon bimbit. Saya bermula sebagai doktor biasa sebelum ke bidang perubatan estetik dan pemasaran hanya daripada mulut ke mulut. Sekarang sudah ada media sosial dan ini memudahkan proses hubungan antara pesakit dan doktor,” katanya.

Kata Dr. Siti Bazilah peranan media sosial juga mendorong lebih ramai golongan lelaki kini berkunjung ke klinik-klinik estetik untuk mendapatkan kulit yang lebih mulus.

Cuma kata kedua-dua doktor ini, ramai yang masih keliru tentang bidang perubatan estetik yang difikirkan boleh mengubah wajah mereka menjadi seperti idola atau artis kesayangan masing-masing.

Oleh itu apabila sudah timbul kehendak sedemikian, maka mereka perlu memperbetulkan tanggapan orang ramai tentang pentingnya melakukan rawatan muka untuk tampak lebih sihat dan bukannya mengubahnya hanya untuk kelihatan cantik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini