Didesak letak jawatan, Lam mohon maaf - Utusan Malaysia

Didesak letak jawatan, Lam mohon maaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG 16 Jun – Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam kini bergelut dengan kerjaya­nya sebagai ahli politik selepas mengumumkan penangguhan Rang Undang-Undang (RUU) yang membolehkan mana-mana penduduk di wilayah ini yang terlibat dalam kes jenayah dieks­tradisi ke tanah besar China.

Lapor Washington Post, kedudukan Lam mula goyah ketika beliau mengusulkan RUU tersebut sehingga mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran yang bertukar ganas di sekitar bandar raya ini, minggu lalu.

Selain itu, Lam juga dilihat bukan ‘calon kegemaran’ apabila beliau tidak dipilih secara langsung oleh penduduk untuk mentadbir Hong Kong, sebaliknya dilantik sebagai Ketua Eksekutif selepas mendapat undian daripada 1,194 ahli jawatan kuasa yang didominasi pro elit Beijing.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketika ini, Lam mula menye­dari bahawa penduduk wilayah separa autonomi itu ‘tidak sepenuhnya menyokong beliau’, selain pemimpin terbabit hanya dilihat sebagai ‘proksi’ China.

Beliau semalam menegaskan, keputusan penangguhan RUU tersebut dibuat bertujuan mengelakkan lebih banyak ‘persengketaan sosial’ yang boleh mencetuskan satu lagi tunjuk perasaan besar-besaran seperti yang berlaku minggu lalu.

Lam juga menegaskan beliau mendapat sokongan penuh da­ripada kerajaan Pusat untuk menangguhkan pelaksanaan RUU berkenaan.

Pemimpin pakatan pro demokrasi, Bonny Leung menyifatkan Lam sebagai ‘jahil dan sombong’ selain menggesa semua aktivis dan penduduk Hong Kong mengadakan tunjuk perasaan sekali lagi hari ini bagi mendesak penarikan penuh RUU tersebut.

Menjelang tengah­ hari, puluhan ribu penduduk berbaju hitam mula berhimpun ketika ketika pasukan keselamatan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Mereka mendesak peletakan jawatan Lam sambil membawa bunga teluki putih ketika penunjuk perasaan lain membawa sepanduk, ‘Jangan tembak, kami penduduk Hong Kong’ mengelak berulangnya pertempuran dengan polis.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Lam hari ini meminta maaf kepada rakyat dengan penuh ‘keikhlasan dan rendah hati’ selain mengaku kesilapan kerajaan serta mendorong konflik dalam masyarakat hingga mengecewakan mereka. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini