TUMPAT – Tertarik dengan kisah Nabi Muhammad diceritakan oleh guru agama ketika dalam kelas pendidikan Islam ketika di bangku sekolah menyebabkan Ong Po Swan, 42, memilih agama Islam.
Kini menggunakan nama Nur Amalina Ong, wanita itu berkata, namun tindakan beliau itu terpaksa ditanggung amat berat olehnya selepas diceraikan oleh suami pada bulan Mac lalu.
Katanya, beliau tidak sesekali terdetik di dalam hati menyesali tindakannya itu kerana ketenangan yang diperolehi luar biasa selepas mendapat hidayah daripada Allah S.W.T.
Menurutnya, malah ibunya tidak boleh terima dengan keputusan dibuat olehnya.
“Saya merupakan anak bongsu dan perempuan tunggal daripada lima beradik. Saya sudah 10 tahun memendam impian untuk memeluk Islam.
“Pada tanggal 26 Februari merupakan tarikh yang amat bermakna dalam hidupnya apabila berjaya melafazkan dua kalimah syahadah.
“Saya ditemani rakan baik pergi ke Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan amat bersyukur Allah S.W.T mempermudahkan segala urusan,” katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Kopitiam Galok di sini baru-baru ini.
Majlis itu turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Cina Muslim Kelantan (PCMK) yang dihadiri pemilik Koptiam Galok, Rosli Osman dan isterinya, Juwaidah Md. Haid dan Pengerusi PCMK, Dr. Johari Yap.
Nur Amalina berkata, dia bersyukur dan teruja kerana pada tahun ini buat pertama kalinya menjalani ibadat puasa serta menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama rakan-rakan muslim yang lain.
Tambahnya, minatnya terhadap agama Islam bermula semasa dia berada di Tahun Satu hingga Enam.
“Saya sanggup ponteng kelas Pendidikan Moral hanya semata-mata untuk mengikuti kelas Pendidikan Islam.
“Ustaz banyak mengajar mengenai kisah-kisah nabi dan ini secara tidak langsung membuatkan minat saya untuk lebih mengenali Islam semakin mendalam.
“Semasa berada di asrama saya selalu mengikuti kawan-kawan menunaikan solat berjemaah di surau sekolah, namun hanya berada di bahagian belakang dan memerhati sahaja gerak geri mereka,” ujarnya.
Katanya, kini empat anaknya masih bersama beliau walau masih lagi berlainan agama manakala seorang lagi terpaksa berpisah.
Menurutnya lagi, dia akan berusaha dan cuba membuat ibunya, adik beradik lain dan anak-anaknya faham dengan keputusan besar yang diambilnya itu.
“Saya merupakan anak perempuan tunggal dan berjanji akan menjaga ibu sampai bila-bila walaupun kami berlainan agama.
“Alhamdulillah kini ibu dan ayah sudah dapat menerima kenyataan yang saya sudah beragama Islam dan saya berazam untuk menjadi seorang muslim yang baik dan dorongan kawan-kawan diharap akan membuatkan jiwa saya menjadi lebih kuat,” katanya merupakan seorang jurujual di sebuah pasaraya.
Sementara itu, Adam Mufid Chew Abdullah, 27, berkata, dia mendapat hidayah memeluk agama Islam apabila bermimpi melihat sebuah masjid yang tersergam indah dan itulah mimpi pertama kali dalam hidupnya.
Adam Mufid atau nama sebenarnya, Chew Wei Ming, untuk mencari jawapan kepada mimpi itu dia berusaha bertanyakan kepada kawan-kawan yang beragama Islam dan mereka memberi cadangan supaya berjumpa dengan ustaz di pondok.
Katanya, dia terus melayari internet mencari tempat-tempat pondok di Malaysia dan secara tidak segaja Pondok Lubok Setol, Rantau Panjang merupakan tempat destinasinya.
“Selepas itu saya mengambil keputusan untuk kesana dan saya dari Temerloh, Pahang terus ke pondok Lubok Stol tanpa pengetahuan ibunya malah memberitahu ingin keluar mencari pekerjaan di Kuala Lumpur.
“Selepas dua minggu tinggal dan belajar mengenai Islam di pondok itu, saya mengambil keputusan untuk memeluk Islam tanpa pengetahuan ibu,” katanya kini lebih empat tahun memeluk Islam.
Menurut Adam Mufid, hampir setahun dia menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan ibunya sehinggalah menerima sepucuk surat pertukaran kad pengenalan baharu yang diposkan ke rumah.
“Pada ketika itu, saya tidak berada di rumah kerana belajar di pondok dan ibu bertanyakan kepada saya mengenai surat itu dan saya terpaksa berterus terang dengannya yang saya kini sudah memeluk Islam.
“Mulanya agak susah juga untuk ibu terima kenyataan ini , namun lama-kelamaan hatinya semakin terbuka menerima agama baharu yang saya anuti,” ujarnya. – K! ONLINE











