DAMSYIK 14 Jun – Pekerja pertahanan awam Syria di Idlib dilapor menggali kubur lebih awal bagi memastikan kelancaran proses pengebumian mangsa perang yang meningkat ketika ini selain mengurangkan risiko kematian kepada mereka yang hadir pada upacara tersebut.
Pasukan yang dikenali sebagai White Helmets itu berbuat demikian selepas peningkatan serangan tentera kerajaan di wilayah itu sejak penghujung April lalu.
Seorang anggota White Helmets di bandar Maaret al-Noman, Bassel al- Rihani memberitahu, mereka akan menggali kubur, namun tidak tahu kubur itu untuk jenazah siapa.
“Kami mungkin menggali kubur sesama kami, keluarga kami hanya tuhan sahaja yang tahu,” katanya.
Menurut Badan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, peningkatan serangan kerajaan di Idlib mengakibatkan lebih 360 orang awam termasuk 80 kanak-kanak terbunuh ketika puluhan ribu penduduk melarikan diri.
Idlib yang dikuasai pemberontak, Hayat Tahrir al-Sham dan dihuni tiga juta penduduk sepatutnya dilindungi di bawah perjanjian zon penampan yang ditandatangani antara Rusia dan Turki.
Dalam pada itu, serangan udara tentera Syria dan sekutunya Rusia, membunuh sekurang-kurangnya 28 orang termasuk tujuh orang awam di wilayah Hama dan Idlib, semalam.
Serangan udara itu turut mengakibatkan 21 anggota pemberontak terbunuh di wilayah sama.
Sementara itu, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu berkata, gencatan senjata di wilayah Idlib tidak dilaksanakan secara penuh walaupun Rusia telah mengeluarkan pengumuman mengenainya.
“Kami berusaha gigih bersama Rusia untuk menghentikan serangan-serangan ini. Tidak mungkin gencatan senjata dapat dilakukan sepenuhnya,” katanya. – AFP











