Dia wujud dalam khayal - Utusan Malaysia

Dia wujud dalam khayal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUSIM perayaan yang sedang berlangsung sekarang ini mengingatkan kembali ingatan saya kepada senja, hari raya kedua Aidilfitri, kira-kira 10 tahun lalu. Cerita ini juga berkait dengan beberapa kisah misteri di tempat kemalangan yang ruangan ini siarkan, baru-baru ini.

Pembaca Mingguan Malaysia sekalian, cerita saya begini. Pada lewat petang hari raya kedua itu, saya memandu dari kampung mentua di Gemencheh, Negeri Sembilan, untuk balik ke rumah di Kuala Lumpur. Esok saya diminta bekerja, banyak barang perlu dihantar kepada pelanggan.

Petang itu, saya ikut jalan potong Hutan Percha – Kemuning – Simpang Ampat, Melaka. Cuaca panas. Mata mengantuk, mulut sudah beberapa kali menguap. Nak berbual dengan isteri, kasihan pula, dia tertidur sebab kepenatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tidak jauh selepas simpang masuk Hutan Percha, saya lihat ada seorang pemuda berdiri di tepi jalan. Tangan kirinya diangkat untuk menahan kereta saya manakala tangan kanan sedang mengurut tengkuk.

Usianya awal 20-an, kurus dan sederhana tinggi. Saya lihat seluar jean biru lusuh pemuda itu koyak di beberapa tempat, begitu juga dengan jaket hitamnya. Tangan serta kakinya luka berdarah.

Kasihan melihat keadaannya itu, lantas saya hentikan kereta. Dalam hati saya berkata, bagus juga, ada kawan berbual, boleh hilangkan mengantuk.

“Encik, boleh tumpangkan saya sampai depan sana… saya accident,” kata pemuda itu sebaik saya menurunkan tingkap di pintu isteri yang masih lena tidur.

“Boleh. Naiklah…” saya mempelawa. “Kat kerusi belakang, sebelah anak saya. Tapi maaflah, bersepah sikit,” kata saya.

Pemuda itu masuk dan duduk di sebelah anak tunggal kami, Afiq, yang sudah lama tidur. Afiq berusia lapan tahun.

“Accident kat mana?” saya bertanya.

“Kat depan…” jawabnya perlahan, antara dengar dengan tidak.

“Depan? Macam mana tu?” saya bertanya lagi, tidak berapa faham.

“Depan…” jawabnya, perlahan juga, seperti tidak mahu saya bertanya lanjut.

Pelik jawapannya itu. Kalau kemalangan di depan, kenapa dia berada di sini? Depan itu pula, di mana lokasinya yang sebenar? Walaupun keliru, tapi saya malas bertanya lagi sebab kasihan melihat pemuda itu yang kesakitan.

“Accident macam mana?” sambil bertanya saya memerhati pemuda itu melalui cermin pandang belakang. Dia masih mengurut tengkuk.

“Saya bawa motosikal, kereta hitam langgar dari belakang,” jawabnya ringkas, sambil menundukkan kepala ke lantai.

“Kereta yang langgar tu macam mana?”

“Terbabas masuk parit tepi jalan… cedera teruk.”

Kata pemuda itu lagi, motosikalnya hancur kerana terhumban ke lorong sebelah lalu dilanggar lori yang datang dari arah bertentangan. Namun dia selamat sebab tidak digilis tayar lori tersebut. Kalau tidak, mungkin nyawanya sudah melayang. Hanya alami luka-luka dan sakit di tengkuk.

“Lori dua tan bawa perabot,” jawab pemuda berkenaan, ringkas.

Pemuda itu kemudian memberitahu, dia perlu pulang segera ke Petaling Jaya kerana esok akan bekerja. Dia hanya bekerja sebagai penghantar surat dengan sebuah syarikat guaman. Kata pemuda itu lagi, kampungnya di Gemencheh, dia anak sulung daripada lima beradik dan jadi harapan keluarga.

“Saya orang kampung, miskin. Bapak dah meninggal. Nak bantu adik-adik sekolah,” sambung pemuda itu.

Bila dengar ceritanya, timbul rasa kasihan di hati saya.

 

LORI

Dua kilometer kemudian, saya lihat kenderaan di hadapan beratur panjang. Saya mula merungut. Dahlah hari mula merangkak senja, traffic jam pula.

“Accident lah tu. Menyusahkan orang betul,” kata saya.

Pemuda itu terus mencelah: “Jangan macam tu, encik. Tak ada siapa nak kemalangan, lebih-lebih lagi kalau meninggal, sebab orang yang meninggal itu tentu ada keluarga, ada adik-beradik, ibu bapa…”

Terus saya terdiam. Betul juga. Tiada siapa mahu terlibat dalam kemalangan. Jadi kalau ada traffic jam, janganlah merungut, sebaliknya bersabar dan jangan lupa bersyukur kerana bukan kita yang menjadi mangsa kemalangan itu. Kata-kata pemuda tersebut membuatkan saya berasa malu.

Selepas itu kami hanya melayan perasaan saja. Saya memandu perlahan mengekori kenderaan yang bergerak macam siput. Mata makin mengantuk.

Hari kian gelap dan benarlah yang saya duga, kesesakan itu disebabkan oleh kemalangan. Saya lihat ada sebuah lori melintang di atas jalan. Lori dua tan membawa perabot, manakala di seberang jalan ada sebuah kereta hitam terperosok dalam parit di tepi bukit.

Lori dua tan, kereta hitam… ah, serta-merta saya teringat sesuatu…!

“Kat sini ke awak kemalangan?”

Tiada jawapan dari pemuda itu. Saya menghentikan kereta sebentar untuk melihat kemalangan itu. Ketika memerhati, saya terperanjat apabila mendapati di bawah lori tersebut ada sebuah motosikal serta… mayat seorang lelaki berjaket hitam dan seluar jean biru lusuh! Badannya kurus, tinggi, sama seperti pemuda yang menumpang kereta saya ini. Mayat pemuda itu tertiarap dengan mukanya terpusing ke atas. Tengkuknya patah!

Ya Allah…! Saat itu darah saya terasa kering. Di sinikah dia kemalangan? Tapi kalau di sini, kenapa ada lelaki sepertinya di bawah lori? Pakaiannya sama. Tubuhnya sama. Diakah?

“Kat sini ke awak accident?” saya bertanya.

Senyap, masih tiada jawapan. Pantas saya menoleh ke belakang. Tapi pemuda itu tiada. Saya melihat sekeliling, mungkin dia sudah keluar dari kereta. Juga tiada. Yang tinggal hanyalah bau setanggi, tawas, air mawar dan kapur barus yang terhidu dalam beberapa saat.

Darah saya berderau, rasa hendak menjerit sekuat hati.

RUMAH ORANG MATI

Hari semakin gelap. Sepanjang perjalanan selepas itu fikiran saya melayang. Siapa pemuda tadi? Kenapa mukanya pucat seperti mayat? Kenapa dia asyik mengurut tengkuk dan memandang ke lantai?

Kenapa ketika saya menumpangkannya, saya tidak dengar pun bunyi pintu belakang kereta saya dibuka dan ditutup. Sedar-sedar dia sudah duduk di kerusi belakang. Memang terdetik di fikiran saya tentang hal itu, tapi saya fikir saya tidak mendengarnya kerana asyik melayan mata yang mengantuk.

Kemudian, dia hilang dari kereta saya dalam sekelip mata. Saya tidak dengar pun bunyi pintu kereta saya dibuka dan ditutup semula. Adakah dia…?

Saya tidak beritahu kepada isteri, hinggalah kami sampai di rumah. Semasa makan barulah saya ceritakan tentang pemuda yang saya tumpangkan di Hutan Percha tadi. Isteri saya tidak tahu apa-apa, tetapi saya terkejut apabila anak saya, Afiq, memberitahu, dia sebenarnya tidak tidur di sepanjang perjalanan.

Dia sebaliknya hanya meme­jamkan mata dan mematikan diri di kerusi belakang sebab merajuk kerana tidak mahu balik awal ke Kuala Lumpur. Dia mahu terus bermain dengan sepupu-sepupunya di kampung, tapi kami yang menyuruhnya balik awal untuk mengulang kaji pelajaran. Dia ada peperiksaan di sekolah.

Yang saya bingung memikirkan ialah kata Afiq, saya tidak ada menghentikan kereta di Hutan Percha, apatah lagi menumpangkan seseorang. Tetapi saya memandu dengan perlahan, banyak kali menguap dan kereta beberapa kali melayang ke kiri dan kanan.

“Kalau ayah ada bercakap dengan orang tu, tentu Afiq dengar,” sambung anak saya itu.

Hanya satu persamaan di antara kami, Afiq turut terhidu bau `rumah orang mati’ sejurus selepas melalui kawasan kemalangan. Maksudnya dia terhidu bau setanggi, tawas, air mawar dan kapur barus dalam kereta kami.

Bau ini datang secara tiba-tiba dan hilang beberapa saat kemudian. Afiq tahu tentang bau rumah orang mati ini kerana ada jiran kami yang meninggal dunia seminggu sebelum Aidilfitri.

Ah, apa yang telah berlaku ini? Kalau saya berkhayal, bagaimana pemuda yang sama boleh muncul sebelum kami sampai di tempat kemalangan? Bererti, saya melihat sesuatu yang belum berlaku atau `dia’ menunjukkan dirinya sebelum saya tahu siapa dirinya yang sebenar. Esoknya, saya tak pergi kerja sebab demam.

Mansur A.H., 
Taman Melawati, 
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini