Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan - Utusan Malaysia

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan kecil pada minggu depan dengan sedikit aliran penurunan.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma), Denis Low Jau Foo berkata, sentimen pasaran juga kekal tidak berubah dan lebih berhati-hati berikutan kebimbangan membabitkan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang terus berlanjutan.

“Pada masa ini, terlalu banyak ketidaktentuan yang menjejaskan permintaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pengeluar sarung tangan juga kurang membeli lateks getah asli kerana pengguna lebih sukakan sarung tangan getah sintetik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, seorang peniaga berkata, pasaran getah tempatan juga akan terus berpandukan petunjuk daripada pergerakan harga di pasaran getah serantau, harga minyak mentah dan prestasi ringgit berbanding dolar US.

Bagi minggu ini misalnya, pasaran getah serantau kebanyakannya rendah dan dijejaskan oleh harga minyak mentah yang tidak menentu berikutan peningkatan berterusan stok minyak mentah AS.

Namun, katanya, bekalan yang terhad di negara pengeluar utama mungkin memberi sokongan kepada pasaran tempatan.

Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, pengeluaran getah asli negara pada April 2019 susut 32.4 peratus daripada 50,109 tan metrik pada Mac.

Bagi tahun ke tahun, pengeluaran getah asli pada April merosot 5.2 peratus kepada 33,864 tan daripada 35,726 tan metrik.

Sementara itu, eksport getah asli pada April naik lima peratus kepada 55,930 tan metrik berbanding bulan sebelumnya dengan 41.9 peratus komoditi itu dieksport ke China diikuti oleh Jerman (14.4 peratus), Finland (7.4 peratus), Iran (6.1 peratus ) dan AS (3.3 peratus).

Bagi bulan dalam kajian itu, stok getah asli berkurangan 9.5 peratus kepada 183,096 tan daripada 202,246 tan metrik pada Mac.

Secara purata, harga lateks pekat naik 4.5 peratus kepada 495.52 sen sekilogram pada April manakala harga purata SMR 20 meningkat 3.6 peratus kepada 613.86 sen sekilogram berbanding Mac.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 turun empat sen kepada 635.50 sen sekilogram manakala lateks pukal turun tiga sen kepada 499.5 sen sekilogram.

Harga penutup pada 5 petang untuk gred tayar SMR 20 turun 9.5 sen kepada 632.5 sen sekilogram dan lateks pukal turun 5.5 sen kepada 498 sen sekilogram. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini