KUANTAN – Wakil rakyat baharu di negeri ini yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu perlu mencontohi wakil rakyat lama atau ‘otai’ dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai.
Presiden Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, ini kerana wakil rakyat ‘otai’ mempunyai pengalaman dan mengetahui ranjau serta onak duri dalam dunia berpolitik.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah misalnya merupakan wakil rakyat ‘otai’ yang boleh dicontohi kerana sudah 20 tahun berkhidmat dan dipilih rakyat.
“PAKP juga mudah berurusan dengannya (Md. Sohaimi) dalam program-program kebajikan untuk rakyat selain mudah untuk didampingi, jadi wakil rakyat sebeginilah yang perlu dicontohi oleh wakil rakyat baharu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syed Mohammad Faiz berkata, PAKP berpendapat Md. Sohaimi merupakan antara wakil rakyat yang mudah didampingi selain kerap turun padang bagi menyantuni rakyat.
“Wakil rakyat sebeginilah yang kita perlukan di negeri ini dan sikap sedemikian perlu dicontohi dan ada dalam kalangan wakil rakyat baharu.
“PAKP berharap, jika masih bergelar wakil rakyat selepas ini, Md. Sohaimi akan mendapat kedudukan yang baik berdasarkan komitmennya kepada rakyat termasuk dilantik sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco),” katanya. – UTUSAN ONLINE











