“Aku ingat nak kasi duit raya secara online banking lah. Budak-budak yang tak ada akaun bank, nasiblah. Tak akan nak minta akaun bank ibu bapa pula. Nanti ibu bapa yang ambil duit tu buat isi petrol pergi kerja pula. Iyalah dah berhabis banyak masa buat persediaan raya,” kata seorang kawan bila semua bank kehabisan duit untuk menukar duit raya dalam tempoh yang singkat pada minggu lalu.
“Eh, macam biasa buat saja ni. Ambil duit raya anak ke?,” tanya saya tertawa.
Memang betullah, ada ibu bapa yang seolah-olah seronok pula mengutip duit raya untuk anak-anak. Sebabnya, wang itulah yang akan digunakan ketika waktu-waktu `kecemasan’. Anak-anak dapat pegang sekejap sahaja duit itu. Kadang-kadang rasa kasihan pula, anak-anak dibawa dari pagi sampai ke malam ke rumah terbuka saudara mara dan kawan-kawan. Nampak letih dan mengantuk budak-budak itu dan ada pula yang tertidur. Ibu bapa pula seronok bersembang, semakin malam, semakin rancak berbual.
Seorang lagi rakan memberitahu, betapa `pening kepala’ dia mahu menyediakan duit raya untuk anak-anak saudaranya dan budak-budak yang datang ke rumah untuk beraya. Katanya, duit perbelanjaan untuk sebulan pun tak cukup, inikan pula mahu diberikan kepada orang lain. Kalau tak beri, rasa bersalah pula.
Dah macam menjadi acara wajib pula memberi duit raya setiap kali Aidilfitri. Bersedekah memanglah amat baik. Besar pahalanya. Tetapi kalau tidak ikhlas, macam terpaksa, memberi kerana bimbang jika tak beri dikata kedekut, dah lari sangat konsep sedekah tu.
Ada pula yang mahu memberi duit raya, bukan niat untuk bersedekah sangat, tetapi menunjuk-nunjuk kepada adik beradik, saudara mara dan kawan-kawan bahawa dia boleh memperuntukkan duit raya yang banyak setiap kali Aidilfitri dan suka mendengar puji-pujian dengan pemberian itu sedangkan pada hari-hari lain, hendak nengok dia belanja satu gelas teh tarik pun susah.
Pada saya, apa susah sangat, kalau tak ada duit, tak payahlah beri. Janganlah memaksa diri sampai sanggup berhutang pula untuk menyediakan duit raya. Merungut-rungut terpaksa menyediakan duit raya, janganlah menambah stres yang sedia ada. Hari raya patut disambut dengan gembira dan sederhana. Dah sampai berhutang atau bergolok bergadai untuk persiapan termasuk duit raya, siapalah yang suruh.
Budak-budak pun janganlah dibiasakan meminta duit raya. Kalau orang beri tidak mengapa. Sekarang ini bukan setakat minta, tak beri selagi itu tak bangun dari meja makan dan jumlah duit yang diberi pun mereka boleh komplen depan-depan kita, tak akan RM2 kot acik!
Mereka harus diberi pengertian Aidilfitri yang sebenar dan kenapa ia disambut. Hari raya bukan sekadar kumpul duit raya, selagi tak dapat tak nak balik, atau dapat saja duit raya, tak sempat makan terus balik. Ini yang selalu diamalkan. Tak kiralah dulu pun, budak-budak bersikap sebegini semasa hari raya. Tak kan kita mahu ia berterusan, tiada sedikit perubahan pun ke arah yang lebih baik.
Bukan budak-budak saja yang kutip duit raya. Sekarang ini orang dewasa pun sama naik. Kadang-kadang naik malu. Sebab yang meminta itu, tak segan-segan pula cakap hendak duit raya, kita yang memang tak ada niat nak beri ini pun naik malu, sebab tak beri!
Pemberian duit raya juga termasuk dalam adab-adab berhari raya. Kalau orang tak beri, janganlah minta. Ajarkan juga pada anak-anak begitu. Memanglah semua orang digalakkan bersedekah. Tetapi sampai meminta-minta, orang yang benar-benar susah pun jarang begitu sikapnya.











