KUALA LUMPUR – Celcom Axiata Berhad (Celcom) mengambil kesempatan meraikan semangat berkongsi dalam bulan Ramadan dengan mengadakan majlis berbuka puasa bersama warga emas dan anak-anak yatim baru-baru ini.
Syarikat telekomunikasi itu dalam kenyataan memaklumkan, lebih 20 kakitangan Celcom telah melawat Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor, Bait Al-Mawaddah bagi meraikan kegembiraan bersama penghuni pusat jagaan itu pada 23 Mei lalu.
“Masa yang diluangkan bersama para warga emas amat berharga kerana mereka berasa seronok untuk berinteraksi, memupuk persaudaraan dan berkongsi cerita dengan kakitangan kami.
“Malah, penghuni Bait Al-Mawaddahwere juga gembira menerima beg goodie berupa barangan penjagaan kesihatan dan makanan ringan,” jelas kenyataan itu hari ini.
Jelas kenyataan itu, dalam satu majlis berasingan, Celcom turut menganjurkan majlis berbuka puasa bersama 95 kanak-kanak dari dua rumah anak yatim iaitu Pusat Jagaan Rumah Kesayangan (Rukesa), Rumah Amal Permata Hatiku dan pelajar tahfiz dari MaahadTahfiz al-Falahiyyah di pejabat korporatnya, @Celcom pada 29 Mei lalu.
Menurut Celcom, kanak-kanak tersebut turut menerima sumbangan duit raya daripada Ketua Pegawai Eksekutifnya, Idham Nawawi dan beberapa pegawai kanan syarikat itu.
“Kanak-kanak tersebut kagum dengan tempat kerja Celcom yang dilengkapi dengan suasana menyeronokkkan, Mereka juga mengambil kesempatan bermain di kawasan permainan di pejabat yang dilengkapi dengan gelanggang bola keranjang dan meja foosball.
“Majlis itu berakhir dengan solat terawih dan sebelum kanak-kanak itu pulang mereka menerima beg hadiah berisi makanan ringan dan makanan untuk sahur,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, kedua-dua program itu direncanakan oleh pasukan transformasi budaya aktif Celcom iaitu sebuah pasukan pelbagai fungsi yang melibatkan warga kerja daripada pelbagai jabatan.
“Pasukan ini adalah sebahagian daripada usaha Celcom untuk membina persekitaran kerja yang bersemangat, menyeronokkan dan menarik untuk pekerjanya serta menggalakkan amalan-amalan bagi hasil yang paling optimum, produktif dan bermanfaat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











