KUALA LUMPUR – Perbadanan Gadai Janji Nasional, Cagamas Bhd, mengumumkan penerbitan Kertas Komersial Konvensional (CCP) tiga bulan berjumlah RM350 juta.
Dalam kenyataan di sini, Cagamas berkata CCP, yang merupakan terbitan kelima syarikat itu tahun ini, akan diterbitkan menerusi program Kertas Komersial Konvensional dan Islam RM20 bilion sedia ada, dengan hasilnya akan digunakan untuk membiayai pembelian gadai janji daripada sistem kewangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chung Chee berkata, berdasarkan sentimen pengelakan risiko semasa yang timbul akibat ketidaktentuan geopolitik global yang berterusan, selain jangkaan pemotongan Kadar Dana Fed Amerika Syarikat, terbitan secara strategik itu dimuktamadkan menerusi tawaran saham persendirian dan mencapai harga kompetitif pada tiga mata asas di bawah kadar penanda aras tiga bulan KLIBOR.
“Kami gembira melihat terbitan jangka pendek syarikat itu terus mendapat sambutan, dengan permintaan ke atas instrumen pendapatan tetap mata wang tempatan terus kukuh dalam pasaran modal domestik,” katanya.
Terbitan yang dimuktamadkan ini menjadikan jumlah terbitan syarikat kepada RM2.8 bilion.
Kertas, yang akan ditebus pada nilai nominal penuh mereka pada masa matang, merupakan obligasi tidak bercagar syarikat, kedudukan setara antara mereka dan bersama semua obligasi tidak bercagar sedia ada syarikat. – BERNAMA











