Bursa diunjur 1,740 mata, ringgit RM4.30 - Utusan Malaysia

Bursa diunjur 1,740 mata, ringgit RM4.30

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Jun – FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berpotensi mengalami kenaikan nilai tetapi agak terhad meskipun prospek ke arah positif, menurut institusi kewangan global, HSBC Private Banking.

Ketua Strategi Pasaran Asia Tenggaranya, James Cheo berkata, pihaknya mengunjurkan indeks penanda aras pasaran saham tempatan, FBM KLCI berada pada paras 1,740 mata menjelang hujung tahun ini, sementara ringgit pada paras RM4.30 berbanding dolar Ameria Syarikat (AS).

Katanya, HSBC berhati-hati kepada pertumbuhan pendapatan syarikat tersenarai Malaysia de­ngan jangkaan pendapatan sesaham untuk berkembang satu digit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi saham-saham di Malaysia, HSBC mempunyai jangkaan yang cerah bagi syarikat memiliki pendedahan kepada pengguna domestik dan juga saham infrastruktur sementara pelaburan swasta diunjur me­ningkat pada akhir tahun susulan kebangkitan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Ekonomi Malaysia sebenarnya lebih kukuh daripada apa yang difikirkan ramai pihak meskipun berdepan persekitaran luaran yang amat mencabar,” katanya pada taklimat media mengenai tinjauan pelaburan di Asia bagi separuh kedua 2019 di sini hari ini.

HSBC menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang 4.5 peratus tahun ini dan 4.3 peratus tahun depan.

Mengenai dasar monetari, Cheo berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan mengurangkan lagi kadar faedah sehingga hujung tahun ini selepas mengurangkannya sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus pada bulan lalu.

Beliau berkata, pihaknya melihat tidak ada keperluan sebenar bagi bank pusat untuk mengurangkan lagi kadar faedah bagi tahun ini.

Mengulas tentang prestasi pasaran ekuiti Malaysia, Ketua Strategi Pasaran Asia HSBC Private Banking, Fan Cheuk Wan menyifatkan ia tidak menarik kerana ekuiti yang jauh lebih mahal berbanding pasaran negara jiran yang lain.

“Buat masa ini, pasaran ekuiti China dan Singapura terutamanya paling menarik dengan penawaran harga yang baik,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini