KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini dalam dagangan suram dengan saham wajaran tinggi dalam sektor perladangan dan penjagaan kesihatan mengheret FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ke paras lebih rendah sebanyak 1.79 mata kepada 1,672.70 semasa urus niaga ditutup.
Indeks dibuka 3.76 mata lebih rendah pada 1,670.73 berbanding 1,674.49 semasa urus niaga ditutup pada Rabu.
Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 366 berbanding 352, dengan 445 kaunter tidak berubah, 742 tidak didagangkan dan 103 lagi digantung.
Jumlah dagangan meningkat sedikit kepada 1.84 bilion unit bernilai RM1.9 bilion berbanding 1.83 bilion unit bernilai RM1.55 bilion semalam.
Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Pong Teng Siew berkata pasaran lengang menjelang penutup pertengahan tahun.
Beliau berkata jumlah kecil ketika ini menunjukkan pelabur institusi dan runcit kebanyakannya kekal tidak memasuki pasaran.
Pong berkata pelabur runcit dalam pasaran juga dilihat cuba mengelak pasaran saham yang turun naik ketika ini berikutan kekurangan berita yang menggerakkan pasaran dalam negara.
“Juga tiada langkah untuk merangsang dagangan yang ketara sepertimana yang dilakukan sebelum ini dan kita melihat tiada perubahan besar dalam pasaran. Saya boleh katakan usaha untuk merangsang dagangan hampir tiada.
“Mungkin petang esok kita akan menyaksikan dagangan ditutup lebih baik apabila pengurus dana cuba merangsang dagangan pada saat-saat akhir,” katanya kepada Bernama. -BERNAMA











