Buku teknikal lebuh raya siap bulan depan – Abu Samah - Utusan Malaysia

Buku teknikal lebuh raya siap bulan depan – Abu Samah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kelewatan menyiapkan buku teknikal basikal lebuh raya Sukan SEA 2019 tidak akan menjejaskan kedudukan acara itu untuk dipertandingkan pada temasya di Filipina hujung tahun ini.

Ketua Delegasi Teknikal Basikal Le­buh Raya Sukan SEA 2019, Datuk Abu Samah Wahab berkata, kebimbangan bahawa basikal lebuh raya berdepan kemungkinan digugurkan di saat akhir akibat kelewatan itu adalah tidak masuk akal kerana ia bukan masalah besar.

“Setakat ini buku teknikal yang dikatakan lewat dan boleh menjejaskan persiapan pasukan yang bertanding itu sudah 90 peratus siap dan dijangka dimuktamadkan apabila Jawatankuasa Delegasi Teknikal bermesyuarat di Filipina pada 26 Jun ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak nampak ia satu masalah besar walaupun buku itu sepatutnya disiapkan bulan ini, malah perkara ini te­lah pun dibincang dengan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan mereka tiada halangan jika ia dapat disiapkan bulan depan.

“Jadi saya akan pastikan tuan rumah siapkannya bulan depan apabila kami bermesyuarat buat kali terakhir hujung bulan ini,” katanya ketika mengulas komen ketua pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi yang bimbang kelewatan buku teknikal itu boleh menjejaskan persiapan pelumba negara.

Ketika ini tambah Abu Samah yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), pendaftaran mengikut bilangan pelumba sudah berjalan tetapi pendaftaran mengikut nama atlet belum bermula lagi.

Hanya tiga acara lebuh raya bagi lelaki dan dua bagi wanita dipertandingkan kali ini. Bagi lelaki, acara yang dipertandingkan adalah lepas beramai-ramai, ujian masa individu dan berpasukan manakala bagi wa­nita hanya ujian masa berpasukan tidak dipertandingkan.

Turut dipertandingkan acara basikal bukit dan BMX manakala basikal trek tidak disenaraikan langsung oleh tuan rumah sebagai salah satu acara yang dipertandingkan kali ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini