BACHOK – Kementerian Sumber Manusia mengharapkan lebih banyak universiti awam serta swasta menjalinkan kerjasama dengan penyedia latihan dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sedia ada di negara ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerjasama ini adalah untuk membuka peluang kepada pelajar diploma dalam bidang TVET untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan seterusnya.
Katanya, sebelum ini kerajaan juga sudah mewujudkan laluan untuk graduan TVET menerusi rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang melibatkan empat buah universiti.
“Kerjasama sebegini akhirnya akan membentuk semula keyakinan ibu bapa terhadap bidang TVET.
“Kalau dulu mereka (ibubapa) tak berapa yakin dengan pendidikan bidang kemahiran, kini pelajar dah boleh sambung pengajian hingga ke peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandun Persefahaman (MoU) antara UMK dengan Jabatan Tenaga Manusia di Bangunan Canselori UMK Kampus Bachok di sini hari ini.
Terdahulu, MoU berkenaan telah ditandatangani Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar dan Naib Canselor UMK, Prof Dr Noor Azizi Ismail.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata, MoU itu akan dijalankan dalam tempoh tiga tahun selain memberi peluang pelajar menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.
“MoU turut merangkumi kerjasama kedua pihak dalam perkongsian teoritikal, teknikal dan praktikal dalam bidang teknik dan vokasional.
“Antara bidang pengajian yang jadi tumpuan kita pula di bidang pemasaran internet, sebab kita nak penuhi keperluan industri dalam menghadapi arus Gelombang Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).
Tambah beliau, TVET bukan hanya tertumpu kepada kemahiran teknikal sahaja, malah perlu seiring dengan kemahiran lain seperti sektor pertanian.
“Sebab itu kita juga mahu kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk bawa pelaburan yang boleh mengguna pakai kemahiran yang dimilik pelajar TVET,” katanya. – UTUSAN ONLINE











