KUALA LUMPUR – Cadangan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) agar Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membubarkan Parlimen pada kadar segera disifatkan sebagai kenyataan berniat jahat dan tidak bertanggungjawab.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Wilayah Persekutuan, Ahmad Ridhuan Alauddin berkata, ini kerana, kerajaan yang terbentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke- 13 (PRU-13) merupakan mandat daripada 5.7 juta pengundi yang berhasrat mahu membawa perubahan dan memberi kepercayaan selama satu penggal kepada kerajaan baru.
Beliau turut mempersoalkan adakah tidak ada sedikit pun rasa hormat kepada keputusan 5.7 juta rakyat Malaysia berikutan gesaan untuk membubarkan Parlimen.
“Tambahan pula kerajaan serta Kabinet hari ini dibentuk hasil perkenan Yang di-Pertuan Agong. Adakah beliau memandang enteng perkenan ini?
“Sekiranya pendapat bahawa ada kelemahan dalam cara pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH), Isma sewajarnya menawarkan bantuan untuk memperkukuhkan usaha kerajaan membina semula negara bukan bersengkokol bersama pihak pembangkang mengganggu gugat usaha pihak kerajaan membina semula negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu Presiden Isma, Aminuddin Yahaya menerusi portal berita tempatan meminta agar Dr. Mahathir membubarkan Parlimen dengan segera sebagai usaha untuk menyelesaikan kemelut dalam kerajaan. – UTUSAN ONLINE











