KUALA LUMPUR – Lembaga Pengarah Boustead Plantations Bhd. (BPB) mengumumkan persaraan Ketua Pegawai Eksekutif, Chow Kok Choy, berkuatkuasa 31 Julai 2019.
Pengerusi BPB Tan Sri Mohd Ghazali Che Mat berkata, susulan pengumuman itu lembaga pengarah membuat keputusan melantik Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif BPB, Mohamad Azlan Jaafar sebagai pemangku CEO.
“Lembaga pengarah telah memulakan proses pemilihan serta merta bagi mencari calon yang terbaik untuk mengganti Kok Choy, dengan keupayaan dan pemikiran yang diperlukan untuk memacu kumpulan ke hadapan.
“Dalam masa interim, Mohamad Azlan, yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam arena korporat dan telah berkhidmat bersama dengan kumpulan selama tujuh tahun, berkelayakan untuk mengambil peranan sebagai pemangku CEO dengan sokongan Lembaga Pengarah dan pasukan pengurusan kanan Kumpulan yang berpengalaman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.











