KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya dan Bank Negera Malaysia (BNM) sedia membantu golongan peniaga sekiranya berdepan masalah mendapatkan pinjaman perniagaan daripada institusi perbankan.
Katanya, hal itu kerana kedudukan kewangan yang mencukupi penting bagi perniagaan mahu mengembangkan operasi masing-masing.
Kata Guan Eng, kelonggaran kemudahan pinjaman kepada sektor perniagaan akan diberikan perhatian oleh kementeriannya kerana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menitikberatkan soal berkenaan.
“Di sini saya meminta kalau ada mana-mana peniaga hadapi masalah dengan bank-bank komersial, tolong beritahu sama BNM ataupun kepada Kementerian Kewangan.
“Kita sudi tolong untuk memastikan bahawa bank-bank kalau tolak pinjaman pemohon-pemohon, mereka buat dengan alasan yang betul dan bukanlah untuk menjaga keuntungan mereka (bank-bank),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Presiden DPMM, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader.
Pada masa sama tambah Guan Eng, kerajaan akan mengambil tindakan bersesuaian untuk melindungi ekonomi negara seandainya perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China menjadi semakin serius sehingga mampu mengancam kepentingan Malaysia.-UTUSAN ONLINE











