AWANG turut berasa sedih apabila Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya dari arena badminton. Bagaimanapun seperti mana kata wira negara itu keputusan sukar itu dibuat demi mengutamakan kesihatannya.
Oleh itu walaupun berat, kita harus merelakan Chong Wei berehat setelah 19 tahun tanpa mengenal penat lelah berjuang untuk negara di gelanggang badminton. Secara jujurnya tiada apa lagi yang harus kita tuntut daripada anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu.
Chong Wei sudah berkorban segala-galanya demi mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Tidak ada individu yang tidak mengenal Chong Wei – pejuang badminton yang sentiasa merendah diri dan mempunyai semangat juang tinggi.
Bagi Awang, Chong Wei adalah pemain badminton luar biasa. Beliau dihormati kawan dan lawan. Nama beliau akan terpahat dalam dunia sukan negara sebagai legenda. Entah bila pula kita akan dapat menyaksikan pemain badminton seperti beliau.
Apa yang pasti bakat Chong Wei tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Mungkin beliau ada keterbatasan dari segi kesihatan tetapi Awang yakin semangat beliau untuk terus membantu negara dari luar gelanggang tidak akan terbatas.
AWANG – Terima kasih Chong Wei.











