BULAN lalu, timbul kekecohan. Kekecohan tentang apa? Tentang bil elektrik yang tiba-tiba naik melambung. Melentinglah pengguna apabila kadar bil elektrik yang diterima naik berlipat kali ganda berbanding biasa.
Mulalah mereka memuat naik bil-bil yang diterima dalam media sosial. Ada yang naik sampai RM500 dan yang naik sehingga RM300 sedangkan jumlah yang biasa dikenakan sebelum ini dalam lingkungan RM150 dan RM200.
Mahu mereka tidak terkejut. Sudah tentu bajet mereka pada bulan tersebut ‘lari’ sebab perlu membayar bil berkenaan lebih-lebih lagi di saat umat Islam mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sebagai contoh, biasa bayar bil elektrik dalam RM200 dan untuk bulan Mei perlu bayar RM500. Di situ sahaja pengguna terpaksa cari duit tambahan RM300 untuk lunaskan kadar bil elektrik. Jika tidak bil akan tertunggak beratus-ratus ringgit.
Sekiranya dibiarkan tanpa dibuat pembayaran besar kemungkinan bekalan elektrik akan dipotong dan kalau ini berlaku sudah tentu akan menyusahkan.
Sebenarnya bab-bab bil ini amat sensitif terutama dalam kalangan rakyat negara ini kerana bil ada hubung kaitnya dengan duit. Sebarang perkara yang membabitkan duit jangan main-main. Lebih-lebih lagi di saat ekonomi tidak menentu. Ketika kos sara hidup yang semakin tinggi. Lebih malang lagi ketika ada dalam kalangan kawan-kawan atau ahli keluarga kita yang kehilangan kerja.
Oleh itu apabila berlakunya sebarang kenaikan khususnya bil-bil bulanan termasuk bil elektrik pasti akan mendatangkan kesulitan kepada pengguna. Berbanding bil perkhidmatan lain seperti Astro, telefon dan internet pengguna tiada masalah kerana kesemua perkhidmatan itu adalah dalam bentuk ‘pilihan’ dan tidak bersifat keperluan asas.
Jika pengguna mengambil keputusan tidak melanggan setiap perkhidmatan tersebut, tiada masalah. Ini berbeza dengan elektrik. Mahu tidak mahu setiap rakyat di negara ini memerlukan tenaga elektrik untuk memudahkan kehidupan seharian. Jika tidak banyak urusan akan terjejas memandangkan tenaga elektrik adalah keperluan asas.
Alat-alat seperti lampu, peti ais, mesin basuh, kipas angin, televisyen, periuk nasi elektrik dan seterika, semuanya menggunakan tenaga elektrik bagi membolehkan semua alat tersebut beroperasi.
Mahu tidak mahu mereka rakyat tiada pilihan dan perlu mendapatkan perkhidmatan bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Apatah lagi TNB hanya satu-satunya syarikat pembekal elektrik di negara ini.
Maka tidak hairanlah Facebook TNB Careline menjadi medan luahan mereka yang tidak berpuas hati dengan kadar bil yang dikenakan itu. Masing-masing berang kerana kadar tersebut tidak munasabah dan tinggi daripada kebiasaan. Lagipun tiada pula kedengaran desas desus atau pengumuman sama ada daripada kerajaan mahupun TNB untuk menaikkan kadar tarif elektrik.
Apapun perhargaan perlu juga diucapkan kepada TNB kerana memberi respons segera terhadap isu tersebut melalui beberapa kenyataan akhbar serta sidang akhbar khas oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya sendiri, Amir Hamzah Azizan pada 31 Mei lalu yang antara lain berkata gangguan sistem pengebilan telah menyebabkan berlaku peningkatan kadar bil elektrik secara mendadak.
Bagaimanapun menurutnya gangguan terhadap sistem itu selama lima hari pada 15 hingga 20 Mei itu berjaya dipulihkan sepenuhnya dan telah beroperasi dengan lancar. Selain itu, jaminan bahawa TNB akan memulangkan semula lebihan pembayaran jika terbukti berlaku lebihan caj turut melegakan banyak pihak terutama pengguna.
Cuma pengguna yang terlibat dengan isu itu perlu hadir ke Kedai Tenaga terdekat atau menghubungi TNB Careline bagi membolehkan aduan rasmi dibuat. Pengguna perlu peka agar kepentingan mereka sentiasa terpelihara. Jangan tangguh-tangguh sebaliknya lakukan segera.
Setakat marah-marah dalam media sosial tetapi gagal membuat aduan rasmi, tidak guna juga. Tanpa aduan rasmi sukar TNB untuk membuat tindak susulan. TNB memerlukan satu aduan rasmi daripada pengguna supaya satu siasatan menyeluruh dapat dilakukan.
Dalam pada itu, penulis amat mengharapkan tiada kejadian seumpama ini berlaku lagi pada masa akan datang terutama berkaitan gangguan sistem pengebilan seperti mana di maklumkan oleh CEO TNB.
Pada masa sama, pengguna juga perlu lebih berjimat ketika menggunakan elektrik lebih-lebih lagi dalam era semua belanja naik. Antara tip yang dikatakan boleh jimat elektrik, cabut plug alat-alat elektrik yang tidak digunakan ketika keluar rumah atau sebelum tidur. Tutup lampu yang tidak digunakan. Menggunakan alat elektrik cekap tenaga dan mentol LED juga boleh membantu. Di sini juga penulis ingin ucapkan Selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir batin.











