Betul ke Chong Wei sombong? - Utusan Malaysia

Betul ke Chong Wei sombong?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILA sahaja bercerita tentang Lee Chong Wei, saya pasti teringat tentang seorang wartawan baharu yang pucat lesi kerana diminta menemubual jaguh badminton negara ini.

Ketika memasuki Stadium Juara di Bukit Kiara, saya melihat wartawan ini tercegat di satu sudut memerhatikan Chong Wei dari jauh.

“Bos minta saya tanya soalan kepada Chong Wei tapi saya takut nak tegur..nak cakap hai pun tak berani,” katanya ketika saya menyapa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dia bukanlah orang pertama mengadu perkara itu, ramai menyimpan rasa takut setiap kali hendak memulakan bicara dengan Chong Wei.

Kepada yang tidak memahami, mereka akan melihat Chong Wei seperti ‘diva’ yang sombong atau menakutkan tetapi percayalah itu bukan personaliti sebenar bapa kepada dua orang anak ini.

Sebenarnya karakter ‘sombong’ ini sengaja dibentuk bukan sahaja oleh Chong Wei, malah kebanyakan jaguh sukan dunia kerana tujuannya adalah menimbulkan rasa gerun lawan ketika di dalam gelanggang.

Bagi Chong Wei, membina karakter ‘digeruni’ sangat penting kerana dia mempunyai rekod kurang bagus dalam pelajaran, jadi dia melakukan segala-galanya untuk memastikan dirinya menjadi pemain badminton paling hebat pernah dimiliki Malaysia.

Ketika memasuki Sekolah Sri Garden di Kuala Lumpur, dia bergelut dengan pelajaran, namun situasi itu jugalah yang membuatkan dia bersemangat hendak membuktikan ‘Aku tak dapat nak kalahkan kau dalam pelajaran jadi aku akan kalahkan kau di atas gelanggang’.

Bagaimanapun, seiring dengan usia, personaliti Chong Wei merubah. Setiap peristiwa yang menimpa akan menjadikan dia seperti orang ‘baharu’. Contohnya selepas berkahwin pada November 2012, Chong Wei lebih bijak dalam pertuturan dan lebih ceria.

Pada 2013 ketika menghadiri rumah terbuka Chong Wei sempena Tahun Baharu Cina, dengan senyuman lebar dia datang bersama ‘ang pow’. “Saya sudah kahwin, sekarang saya boleh bagi ‘ang pow’ kepada semua. Saya rasa seronok sangat.”

Beberapa bulan kemudian, dia bergelar bapa selepas isterinya, Wong Mew Choo melahirkan anak pertama mereka, Kingston.

“Bayi dan ibu sihat. Saya sudah jadi bapa dan rasa nak menangis,” katanya sambil berkongsi gambar menerusi WeChat.

Bercakap tentang WeChat, Chong Wei tidak seperti seperti kebanyakan atlet yang saya kenali. Dia tidak gemar menggunakan WhatsApp, tidak suka menulis panjang lebar, sebaliknya lebih selesa berkomunikasi dengan mesej suara atau ‘voice message’.

Kami tidak hanya berbicara tentang badminton tetapi sukan lain, malah kadangkala menyentuh isu politik semasa. Pernah satu masa, Chong Wei tertawa besar apabila dikaitkan sebagai calon pilihanraya kecil DUN Kajang pada 2014.

“Mengarut betul. Saya apa pun tak pandai…saya tahu main badminton saja,” katanya ketika saya bertanyakan tentang perkara itu.

Sepanjang 19 tahun perjalanan badminton Chong Wei, apa yang boleh saya simpulkan, dia seorang yang amat cekal dan luar biasa. Penyakit kanser hidung yang mendorongnya menggantung raket lebih awal bukan satu-satunya dugaan yang pernah melanda hidupnya.

Pada 2015, dia digantung lapan bulan akibat gagal ujian doping ketika beraksi dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen 2014. Mujurlah, dia mendapat sokongan orang sekeliling, terutama Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria serta Pengurus BAM ketika itu, Kenny Goh yang menemaninya menghadapi detik sukar tersebut.

Saya melihat, insiden doping telah banyak merubah Chong Wei menjadi seorang yang lebih ‘down to earth’ dan menghargai orang-orang di sekeliling, malah sudah jarang saya dengar keluhan rakan-rakan media yang takut hendak menemubualnya.

Keluarga juga adalah tulang belakang Chong Wei. Abang sulungnya, Joe Lee orang paling dipercayai untuk menguruskan perniagaan. Pada 2008, ketika Chong Wei layak ke final Sukan Olimpik buat kali pertama, saya meminta izin keluarganya untuk menonton perlawanan itu di kediaman mereka.

Sejurus selepas kekalahan kepada Lin Dan, bapanya dengan merendah diri berkata: “Maaf, jika Chong Wei telah mengecewakan rakyat Malaysia, namun saya mohon satu perkara, tolonglah jangan kecam anak saya”.

Sehingga kini, kata-kata itu bermain dalam fikiran saya. Kalau hendak kritik, berpada-padalah. Atlet juga manusia biasa ada keluarga, ada hati dan perasaan untuk dijaga.

Chong Wei bukan sahaja legenda sukan, malah ikon dan lambang perpaduan rakyat Malaysia. Saya doakan, kesihatannya bertambah baik dan dia akan meraih kejayaan dalam apa jua yang akan dilakukan selepas ini. Terima kasih dan selamat berehat hero Malaysia!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini