Betul ke Chong Wei sombong? - Utusan Malaysia

Betul ke Chong Wei sombong?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILA sebut tentang Lee Chong Wei, saya pasti teringat kisah seorang wartawan baru yang pucat lesi kerana diminta menemu bual jaguh badminton negara ini.

Ketika memasuki Stadium Juara di Bukit Kiara , saya melihat wartawan ini berdiri di satu sudut sambil memerhatikan Chong Wei dari jauh.

“Bos minta saya tanya beberapa soalan kat Chong Wei tapi saya takut sangat nak tegur dia..nak cakap hai pun tak berani,” kata wartawan itu ketika saya menyapanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saya tidak salahkah dia sebab dia sebenarnya bukanlah orang pertama yang mengadu perkara itu, ramai yang menyimpan rasa takut setiap kali hendak memulakan bicara dengan Chong Wei.

Kepada yang mungkin tidak memahami, mereka akan melihat Chong Wei seperti ‘diva’ yang sombong atau menakutkan tetapi percayalah itu bukan personaliti sebenar bapa kepada dua orang anak ini.

Sebenarnya karakter ‘sombong’ ini sengaja dibentuk bukan sahaja oleh Chong Wei, malah kebanyakan jaguh sukan dunia kerana tujuannya adalah menimbulkan rasa gerun lawan ketika di dalam gelanggang.

Bagi Chong Wei, membina karakter ‘digeruni’ amat penting kerana dia mempunyai rekod kurang bagus dalam pelajaran, jadi dia melakukan segala-galanya untuk memastikan dirinya menjadi pemain badminton paling hebat.

Chong Wei bukanlah pelajar cemerlang di dalam kelas, malah ketika baru memasuki Sekolah Sri Garden di Kuala Lumpur, dia bergelut dengan pelajaran, namun  situasi itu jugalah yang membuatkan dia bersemangat hendak membuktikan ‘Aku tak dapat nak kalahkan kau dalam pelajaran jadi aku akan kalahkan kau di atas gelanggang’.

Bagaimanapun, seiring usia, personaliti Chong Wei berubah sedikit demi sedikit, setiap peristiwa yang menimpa seolah-olah menjadikan dia seperti orang ‘baharu’.

Contohnya selepas menamatkan zaman bujang pada November 2012, Chong Wei lebih bijak dalam pertuturan dan kelihatan lebih ceria.

Teringat pada 2013 ketika saya menghadiri rumah terbuka Chong Wei sempena Tahun Baharu Cina, bersama senyuman lebar dia datang dengan ang pow di tangan. “Saya sudah kahwin, sekarang saya boleh bagi ang pow kepada semua orang. Saya rasa seronok sangat.”

Beberapa bulan kemudian, Chong Wei bergelar bapa selepas Wong Mew Choo melahirkan anak pertama mereka, Kingston pada 12 April 2013. Sejak itu saya tidak lagi melihat dia sebagai sekadar seorang pemain badminton tetapi lelaki dewasa yang matang.

“Baby sihat, ibunya juga sihat. Saya sudah jadi bapa, saya rasa seperti nak menangis,” katanya kepada saya sambil berkongsi beberapa keping gambar menerusi WeChat.

Bercakap tentang WeChat, Chong Wei tidak seperti kebanyakan atlet yang saya kenali. Dia tidak gemar menggunakan WhatsApp, tidak suka menulis panjang lebar, sebaliknya lebih selesa berkomunikasi menggunakan mesej suara atau ‘voice message’.

Kami sering berbicara tentang banyak perkara, bukan sahaja isu badminton tetapi sukan lain, terutama bola sepak, malah kadangkala isu politik semasa.

Pernah satu masa, Chong Wei tertawa besar apabila dikaitkan sebagai calon pilihanraya kecil kerusi DUN Kajang pada 2014.

“Itu semua mengarut, saya apa pun tak pandai…saya tahu main badminton saja,” katanya ketika saya bertanyakan tentang perkara itu.

Kadangkala saya juga menghubungi Chong Wei untuk mengulas tentang bola sepak, Harimau Malaya, Piala Dunia, mahu pun liga-liga Eropah.

Jawapannya setiap kali ditanya tentang siapa calon juara Liga Perdana Inggeris sudah boleh diduga. “Mestilah Manchester United, kelab paling hebat di dunia,” katanya dengan nada yang sengaja ditekankan mungkin kerana sedar saya adalah penyokong tegar Liverpool.

Sepanjang 19 tahun perjalanan badminton Chong Wei, apa yang boleh saya simpulkan, dia seorang yang cekal dan luar biasa.

Penyakit kanser hidung yang mendorongnya menggantung raket lebih awal bukanlah satu-satunya dugaan besar yang pernah melanda hidup pemain berusia 37 tahun ini.

Pada 2012, Chong Wei berdepan situasi menakutkan apabila berdepan risiko tidak dapat beraksi dalam Sukan Olimpik London kerana mengalami kecederaan buku lali serius ketika menyertai Piala Thomas di Wuhan.

Saya masih ingat, kami menunggu seawal pukul 4 pagi di lobi hotel penginapan Chong Wei kerana dia perlu mendapatkan penerbangan awal ke Kuala Lumpur bagi menerima rawatan segera.

Dengan berkerusi roda, wajah Chong Wei kelihatan sugul, matanya merah dan sesekali air mata berlinangan. Dia melambai ke arah kami dengan satu perkataan: “Terima kasih”. Chong Wei benar-benar takut jika kecederaan itu nemaksanya melupakan Olimpik.

Pada 2015, dia berdepan dugaan lebih besar apabila digantung lapan bulan akibat gagal ujian doping ketika beraksi dalam Kejohanan Dunia di Copenhagen 2014.

Saya cuba menghubunginya ketika berita tersebut sedang hangat, namun tiada satu pun mesej atau panggilan dibalas, mungkin dia masih dalam keadaan kusut, bisik hati saya.

Begitupun beberapa minggu kemudian, saya berjaya juga bercakap dengan Chong Wei, dan dalam nada yang sugul dia mengakui, dia ibarat ‘mati hidup semula’.

Saya pergi bersendirian ke lokasi latihannya yang jauh dari Bukit Kiara. Sejujurnya, biarpun sudah lama mengenali Chong Wei, namun pada hari itu saya sedikit gementar untuk menemu bualnya.

Chong Wei yang ketika itu sedang melakukan pemanas badan bagaimanapun menjadikan keadaan lebih mudah. “Kakak boleh interview saya sekarang, tiada masalah tapi saya sambil bersenam boleh?,” katanya dengan sopan.

Kesempatan bersendirian bersama Chong Wei saya gunakan untuk bertanya pelbagai soalan, dari isu doping, kehidupan selepas bergelar bapa dan impian yang masih tidak tercapai untuk bergelar juara Olimpik serta dunia, semua dijawab dengan baik.

Apa yang dapat saya simpulkan, insiden doping telah memberi kesan besar buat Chong Wei. Ia merubahnya menjadi seorang yang lebih ‘down to earth’, lebih menghargai orang-orang di sekeliling.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Pengurus Besar BAM ketika itu, Kenny Goh yang dianggap seperti bapa antara yang paling kuat bersama Chong Wei menghadapi detik sukar.

Keluarga juga tulang belakang Chong Wei. Di saat dia berdepan detik sukar, abang sulungnya, Joe Lee banyak membantu menguruskan keluarga, malah orang paling dipercayai untuk menguruskan perniagaan.

Menyentuh tentang keluarga, pada 2008, ketika Chong Wei berjaya layak ke final Sukan Olimpik buat kali pertama, saya meminta izin keluarganya untuk menonton perlawanan itu di kediaman mereka.

Sejurus selepas kekalahannya kepada Lin Dan, bapanya dengan nada merendah diri berkata: “Maaf jika Chong Wei telah mengecewakan rakyat Malaysia, namun saya mohon satu perkara, tolonglah jangan kecam anak saya”.

Sehingga kini, kata-kata itu melekat dalam fikiran saya. Kalau hendak kritik, berpada-padalah. Atlet juga manusia biasa ada keluarga, ada hati dan perasaan untuk dijaga.

Tanggal 13 Jun 2019, Chong Wei akhirnya mengumumkan persaraan selepas 19 tahun yang penuh suka duka.

Tidak sangka, sepanjang 19 tahun itu juga saya melihat perjalanan hidup lelaki hebat ini daripada seorang budak hingusan akhirnya menjadi jagoan dunia.

Daripada budak mentah, kini dia adalah bapa yang penyayang, malah memasuki usia 30-an, Chong Wei juga banyak mendekatkan diri kepada kerja-kerja kebajikan.

Pada 2014 ketika Malaysia dilanda banjir besar, dia menceriakan mangsa bencana di Ipoh dengan menghulur bantuan, malah dia beberapa kali tampil melakukan kerja amal dalam tragedi lain.

Pada sambutan Tahun Baru Cina tahun ini, dia membawa dua anaknya, Kingston dan Terrence meraikan hari istimewa itu bersama anak-anak yatim.

Bagi saya, Chong Wei wajar dikenang bukan sahaja sebagai legenda sukan, malah ikon rakyat Malaysia dan lambang perpaduan kaum di negara ini. Legasi dan jasa yang ditinggalkan Lee Chong Wei terlalu besar.

Saya doakan, kesihatannya bertambah baik dan dia akan meraih kejayaan dalam apa jua yang akan dilakukan selepas ini. Terima kasih dan selamat berehat hero Malaysia!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini