PONTIAN – Berpura-pura meminta daun yang didakwa mampu mengubati penyakit kencing manis menjadi taktik dua perompak wanita dan seorang lelaki semasa menyamun seorang warga emas di Jalan Parit Ismail, Benut, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mustafa Bakri Salleh berkata, kejadian yang berlaku pukul 1.30 tengah hari menyebabkan wanita berusia 74 tahun itu kehilangan gelang emas yang nilainya dianggarkan lebih RM2,000.
Katanya, warga emas terbabit didatangi dua wanita dan seorang lelaki menaiki Proton Inspira berwarna putih di rumahnya meminta sejenis daun yang kononnya biasa dijadikan ubat tradisional untuk mengubati penyakit kencing manis.
“Ketiga-tiga suspek beritahu kepada mangsa mereka hendak buat ubat kencing manis menggunakan daun berkenaan.
“Kemudian suspek lelaki bersama-sama seorang suspek wanita pergi ke tepi rumah mangsa untuk mengambil daun berkenaan. Seorang lagi suspek wanita difahamkan berada dalam kereta,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bagaimanapun, selesai mengambil daun dan kesemua suspek beredar, pengadu memdapati beg tangan diletakkan atas meja di dapur beralih tempat.
“Selepas diperiksa beg tangannya itu, mangsa mendapati gelang emas miliknya hilang.
“Mangsa percaya rumahnya telah dimasuki seorang daripada suspek tersebut yang mengambil barang-barang miliknya. Dia kemudian bertindak membuat laporan di Balai Polis Benut,” katanya.
Mustafa memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 380 kanun keseksaan. – UTUSAN ONLINE











