Tabah. Itulah antara kata-kata yang boleh diungkapkan bagi menggambarkan sifat seorang isteri yang sanggup berkorban dengan berhenti kerja demi menjaga suaminya yang terlantar sakit. Bukan jawatan biasa yang terpaksa dikorbankan, sebaliknya Norfaizah Mansor, 48, rela meninggalkan kerjaya sebagai pegawai bank demi menjaga suami tercinta, Azman Nan, 51, yang menghidap kanser paru-paru tahap empat dan ketumbuhan otak.
Hakikatnya, pengorbanan dan kasih seorang isteri boleh membawa ke syurga kerana setiap bakti yang dicurahkan demi insan yang dicintai tidak ternilai harganya.
Mana tidaknya, Norfaizah terpaksa meninggalkan kerjaya itu demi menjaga suaminya yang menghidap penyakit yang ditakuti semua orang.
Kesakitan yang ditanggung suaminya pada waktu ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Melihatnya sahaja sudah dapat membayangkan betapa perit dan seksa penderitaan itu.
Nikmat kehidupannya dahulu seperti berjalan, makan dan penglihatan hilang sekelip mata tanpa sebarang amaran awal tentang apa yang bakal dihadapi.
Pada tahun lalu, suaminya masih aktif bekerja dan menjalani kehidupan seperti biasa sebelum disahkan menghidap kanser pada Oktober.
Menurut Norfaizah, kesihatan suaminya semakin merosot sejak disahkan sakit tahun lalu sehingga tidak mampu berjalan dan penglihatan terjejas teruk.
“Tiada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan kami sekeluarga ketika itu melainkan bersabar dengan ujian yang diberikan Allah.
“Saya tidak akan pernah berhenti berdoa kepada Allah untuk diberikan kesembuhan kepada suami saya,” katanya.
Tambah Norfaizah, suaminya telah menjalani rawatan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebanyak lima kali untuk melawan penyakit kanser tersebut.
“Selepas menjalani rawatan itu, keadaan kesihatan suami saya masih sama dan terdapat beberapa kesan seperti rambut gugur, kulit semakin menipis selain hilang selera makan.
“Doktor turut memberitahu bahawa tiada lagi ubat yang mampu merawat suami saya melainkan kemoterapi kerana keadaan kanser yang sudah berada pada tahap empat,” katanya kepada S2.
Kata Norfaizah lagi, sumber pendapatan keluarganya turut terjejas kerana dia dan suami tidak lagi dapat bekerja berikutan penyakit suaminya memerlukan penjagaan yang rapi.
“Saya pernah cuba berniaga kecil-kecilan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, namun tiada siapa dapat menjaga suami di rumah kerana dia tidak lagi mampu berjalan dan melihat.
“Kini kami hanya bergantung ihsan kepada anak-anak untuk membayar keperluan keluarga sekadar yang mampu sebelum mendapat bantuan dari Baitulmal,” katanya.
Mengulas lanjut, Norfaizah memberitahu bahawa hasil perkongsiaan hidup bersama suaminya selama 30 tahun mereka dikurniakan empat orang anak dengan dua masih belajar di pusat pengajian tinggi sementara dua lagi bekerja sebagai kerani dan penyelia tapak pembinaan.
“Wang yang diberikan oleh anak-anak digunakan dengan cermat kerana dua anak saya masih belajar.
“Saya tidak mengharapkan sebarang bantuan, namun sekiranya diberikan peluang saya ingin meminta sumbangan sebuah katil seperti di hospital untuk memudahkan penjagaan suami yang tidak mampu bangun,” katanya
Selain itu, Norfaizah memberitahu bahawa suaminya kini sedang menjalani rawatan alternatif Islam kerana tidak mahu menjalani kemoterapi yang disarankan doktor.
“Suami sudah tidak berdaya untuk menjalani rawatan kemoterapi yang memerlukan semangat dan kekuatan bagi meneruskannya.
“Tiada siapa meminta diuji dengan penyakit sebegini, namun sebagai umat Islam kami perlu reda dalam mengharungi cabaran hidup yang mendatang,” katanya.











