Bergantung perwakilan bahas kerjasama UMNO-Pas - Utusan Malaysia

Bergantung perwakilan bahas kerjasama UMNO-Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN – Dewan Muslimat Pas menyerahkan kepada perwakilannya sama ada mahu membahaskan soal hubungan kerjasama dengan UMNO termasuk tentang pembentukan piagam kerjasama UMNO-Pas pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas Kali Ke-59 di Bukit Gambang Resort City (BGRC) di sini Sabtu ini.

Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh berkata, tiga usul termasuk pindaan Perlembagaan Pas akan dibahaskan dalam muktamar sayap Pas itu yang membuka tirai lebih awal dan dijadual dirasmikan oleh Presiden parti tersebut, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Perkara ini (hubungan kerjasama dengan UMNO) akan disentuh secara ringkas semasa ucaptama, selebihnya bergantung kepada perbahasan perwakilan,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Muktamar Tahunan Pas Ke-65 berlangsung tiga hari bermula 21 Jun ini di Dewan Sukpa di sini manakala Muktamar Dewan Pemuda Pas pada 19 Jun hingga 20 Jun di Pusat Konvensyen BGRC dan Muktamar Dewan Ulama Pas pula pada 20 Jun di Wisma Belia Indera Mahkota di sini.

Muktamar Dewan Muslimat Pas pula diadakan lebih awal pada Sabtu ini melibatkan kira-kira 750 perwakilan.

UMNO dan Pas dilaporkan akan memperkukuhkan lagi kerjasama secara rasmi melalui satu piagam yang akan dimeterai tidak lama lagi.

Dalam pada tu, Nuridah yang mengekalkan jawatan Ketua Dewan Muslimat Pas selepas menang tanpa bertanding berkata, tema ‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’ sempena muktamar kali ini adalah selari dengan suasana negara yang sangat memerlukan Islam memimpin untuk kesejahteraan semua.

“Keadaan negara yang tidak meletakkan Islam sebagai dasar  menimbulkan kebimbangan kedudukan Islam yang semakin terancam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini