KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengekalkan tapak Bazar Ramadan Jalan Raja, di sini pada tahun depan setelah menilai keberkesanan di sebalik pemindahan tapak perniagaan itu.
Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, keputusan itu dibuat setelah melihat matlamat yang berjaya dicapai terutama dalam menghapuskan budaya monopoli lot perniagaan oleh golongan tertentu sejak sekian lama.
“Dahulu seorang individu ada yang kuasai sehingga 100 petak dan menjualnya pula kepada pihak ketiga. Oleh itu, kami memutuskan untuk mengambil alih dan menyelesaikan ‘penguasaan’ itu dengan mendaftarkan permohonan secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas mengenai peranan beliau selaku pengerusi YWP di Wisma Yayasan Wilayah Persekutuan, Jalan Raja Abdullah di sini.
Beliau bagaimanapun berkata, satu ‘post mortem’ akan dibuat untuk menilai keseluruhan aspek penganjuran bazar berkenaan selain melihat perkara-perkara yang perlu diperbaiki. – UTUSAN ONLINE











