Azlan buru gelaran ASB1000 - Utusan Malaysia

Azlan buru gelaran ASB1000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUA trofi kemenangan di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand kelmarin melonjakkan semangat pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman untuk memburu gelaran utama ASB1000 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.

Azlan berada dalam kelas tersendiri selepas meraih kemenangan berganda apabila melakukan pecutan agresif di selekoh terakhir bagi membolehkannya memintas pelumba Australia, Broc Parkes.

Pada Sabtu lalu, pelumba ONEXOX TKKR SAG Racing Team tersebut me­raih kemenangan pada Perlumbaan 1 dan kelmarin dia melengkapkan kemenangan berganda pada Perlumbaan 2.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hasil kemenangan tersebut, Azlan yang memacu jentera BWM S1000 RR kini mengumpul 97 mata dan hanya dibezakan lapan mata di belakang Parkes dalam carta kedudukan pelumba keseluruhan.

“Perlumbaan 2 semalam (kelmarin) sangat mencabar dan ketika itu saya cuba mengekalkan tunggangan yang konsisten untuk membolehkan tayar le­bih mencengkam.

“Saya menggunakan ruang pada selekoh terakhir untuk memintas Parkes, sekali gus membolehkan saya meraih kemenangan berganda di Buriram.

“Saya sangat berpuas hati dengan ­prestasi ketika ini. Saya harap kejayaan ini dapat menyuntik semangat pasukan untuk tampil lebih baik pada perlumbaan seterusnya di Suzuka, Jepun.

“Kami akan terus berusaha untuk mengejar mata dan memburu kedudukan teratas carta ASB1000,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.

Sementara itu, dalam saingan kelas SS600, pelumba Thailand, Peerapong Boonlert terus selesa mendominasi perlumbaan apabila melakar kemenangan keenam berturut-turut selepas meraih kejuaraan berganda di Buriram.

Pelumba Malaysia, Muhamad Adam Norrodin (SIC Junior ZK Racing Team) yang dilihat mampu memberi cabaran kepada Peerapong musim ini, terpaksa berpuas hati sebagai naib juara pada kedua-dua perlumbaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini