KUALA LUMPUR – Seorang gadis berdepan detik cemas apabila kereta yang dipandunya melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora lalu terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas di Jalan Permaisuri dekat Flat Sri Penara di sini hari ini.
Ketika kejadian pada pukul 8.20 pagi itu, Nurul Shafieka Mokhtar, 27, trauma apabila kereta jenis Perodua Axia berwarna hijau hilang kawalan setelah melanggar sisi kiri MPV yang diletakkan di kiri jalan berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkifly Yahya berkata, bagaimanapun pemandu Axia itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kemalangan itu menyebabkan jalan di kawasan berkenaan dari Jalan Permaisuri menghala ke Salak Selatan mengalami sedikit kesesakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Zulkifly memberitahu, kenderaan MPV itu milik seorang lelaki bernama Mohd Najib Talib, 49, yang merupakan seorang pemandu Grab sepenuh masa.
“Kedua-dua pemilik kenderaan tersebut telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
“Pemandu Axia akan disaman dan diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang Rule 10 LN 166/59 dan pemandu MPV Exora akan diambil tindakan di bawah Rule 16 LN 166/59,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











