KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi laman Instagram memberitahu mengenai bahaya memfitnah yang dilihat lebih dahsyat kesannya daripada membunuh.
Beliau memberitahu, gejala seperti ini boleh dianggap membunuh, cuma dalam bentuk yang lain.
Katanya, ia (fitnah) menghancurkan peribadi, kegembiraan, menimbulkan syak wasangka serta meleburkan perpaduan, perkara-perkara yang menjadi pengikat antara masyarakat dan asas penting persahabatan ummah.
“Jumaat adalah hari untuk kita bermuhasabah.
Peringatan al-Quran tentang fitnah lebih dahsyat daripada membunuh wajar untuk direnung kembali,” katanya.
Malangnya, tambah Anwar, fitnah menjadi asam garam politik apabila mereka gagal menundukkan seseorang dengan dasar dan prinsip, maka jalan fitnah dan penipuan menjadi pilihan.
“Ulang, ulang, ulang…. maka ia menjadi suatu ‘kebenaran’ terutama dalam zaman media sosial dan ‘fake news’. Saya telah lama difitnah dalam tahun-tahun lampau sepanjang hidup berjuang. Saya kehilangan ramai teman, dan juga masa bersama yang tersayang. Dan peristiwa ini bukan lah sesuatu yang saya harapkan terjadi pada orang lain.
“Justeru, dalam kesibukan menguruskan urusan pada hari Jumaat yang mulia ini, mari kita bersama-sama merenung dan memikirkan tentang dunia hari ini dan memastikan kita tidak terjerumus ke dalam gejala berkongsi tanpa fikir atau merekayasa perkara-perkara yang menjurus kepada fitnah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











