KUALA LUMPUR – Rayuan seorang anak memohon bantuan rakyat Malaysia membawa pulang jenazah ibunya yang meninggal dunia di Australia termakbul selepas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Amal Team tampil menguruskan perkara itu hari ini.
Jenazah Siti Patimah Mohamad Nor yang meninggal dunia di negara tersebut dijangka akan dibawa pulang ke Malaysia selewat-lewatnya Rabu ini.
Seorang sukarelawan Amal Team, Ahmad Shukry Kamaruzaman memberitahu, setakat ini, wakil Amal Team, Afiz Ayub yang diterbangkan ke Australia malam semalam selamat tiba pagi tadi (waktu tempatan) untuk tujuan pengurusan jenazah sebelum dibawa pulang.
“Saya difahamkan dia (Afiz Ayub) selamat tiba ke sana pagi tadi dan sekarang ini sedang menguruskan beberapa perkara termasuk usaha untuk membawa pulang jenazah pada Rabu ini.
“Amal Team juga akan menyambut kepulangan jenazah pada Rabu ini untuk dihantar terus ke kampungnya di Besut. Itu sahaja maklumat yang kami perolehi setakat ini, bagaimanapun pengurusan di sana lancar,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Sebelum ini tular dalam media sosial Siti Patimah berasal dari Besut, Terengganu telah pergi ke Australia bagi meraikan Aidilfitri bersama anaknya sebelum meninggal dunia pada 11 Jun lalu ketika solat Asar.
Selepas itu, Utusan Malaysia difahamkan anak kepada Allahyarham memohon bantuan daripada seluruh umat Islam di Australia dan Malaysia untuk menyalurkan bantuan kewangan bagi urusan membawa pulang jenazah atas permintaan terakhir Allahyarham.
Selepas menyedari perkara itu, Amal Team yang bergerak membantu dalam pengurusan jenazah terpanggil untuk membantu keluarga tersebut dengan mengumpulkan dana sebanyak RM31,000 yang disalurkan terus ke akaun bank milik anak Allahyarham. – UTUSAN ONLINE











