PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati akaun bank di luar negara yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak wujud seperti yang didakwa Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Adam.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, transaksi meragukan oleh sebuah syarikat pembinaan ke akaun bank peribadi milik Azmin juga didapati tidak wujud.
“SPRM telah menjalankan siasatan dan mendapati tidak wujud transaksi yang dinyatakan dan tiada kewujudan akaun berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada 12 Jun lalu, Lokman yang juga Pengerusi Sekretariat Suara Rakyat menyerahkan laporan kepada SPRM bagi meminta agensi itu menyiasat dakwaan pemindahan dana RM4 juta ke akaun bank Azmin sekitar Disember 2017.
Lokman mendakwa menerima satu rekod transaksi dana oleh UEM Group Bhd. ke atas akaun Timbalan Presiden PKR itu di Deutsche Bank pada 19 Disember 2017.
Dalam perkembangan berbeza, Azam berkata, tohmahan terhadap Azmin bertajuk ‘Here is the proof Azmin Ali is toyol of Selangor‘ yang laporannya pernah diterima SPRM pada Ogos tahun lalu juga didapati tidak benar.
“Berhubung isu ini, siasatan tersebut telah dijalankan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia serta institusi kewangan lain dan didapati tohmahan yang dibangkitkan itu adalah tidak benar.
“Diharap kenyataan ini akan dapat memberi pencerahan kepada orang ramai,” katanya. – K! ONLINE











