ISLAM agama Persekutuan. Setiap warganegara telah memahami. Ia tiada sebarang keraguan, bahkan tidak dipersoalkan lagi. Termaktub dalam Perlembagaan, Islam mendasar dan memayungi.
Begitu, meningkat remaja, saya semakin memahami bahawa Islam bukan sekadar amalan. Akan tetapi ia jalan kehidupan. Saya yang mempercayai bahawa berpuasa seumpama berlapar dan berdahaga, kemudiannya kian memahami bahawa ia satu ibadat bagi umat Islam.
Berpuasa berada di dalam Rukun Islam. Berpuasa di bulan Ramadan rukun yang ketiga. Apabila disebut Rukun Islam, ia wajib dipatuhi umat. Kewajipan menunaikan ibadah puasa awalnya saya fahami sebagai keterpaksaan yang harus ditempuhi sekali setahun beransur-ansur berubah tanggapan ini kepada ia dilaksanakan dengan sepenuh keredaan, malahan Ramadan menjadi bulan yang ditunggu-tunggu.
Menjalani ibadah berpuasa bukan lagi hanya kemestian. Jauh lebih halus daripada itu adalah setiap detik ditunggu untuk beramal dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Bukan mudah untuk saya memahami hakikat ini sehinggalah apabila dewasa banyak saya didedahkan pelbagai pandangan dan pengertian.
Rujukan Islam yang paling lengkap ialah al-Quran dan hadis. Perihal berpuasa diterangkannya dengan sempurna. Ulama menghurai untuk memudahkan pemahaman. Islam meluruskan urusan kehidupan. Saya pun menerima penjelasan bahawa berpuasa itu bukanlah kesusahan bagi umat Islam. Sebaliknya nikmat.
MEMAHAMI BUKAN MUDAH
Saya juga tidak memahami dengan baik tentang amalan berhari raya atau sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal. Saya hanya mengetahui bahawa hari ini, setiap umat Islam berpakaian cantik dan bersuka ria terutama kunjung-mengunjungi dan jamuan pelbagai juadah yang lazat. Saya diberitahu, umat Islam juga berkunjung ke kubur dengan suasananya indah serta berwarna-warni.
Bukan seketika tanggapan ini mengisi fikiran, malahan keyakinan saya bahawa Aidilfitri adalah kemeriahan yang dinanti-nanti. Ia bertahun-tahun. Benar, memahami sesuatu bukannya mudah atau secara tergesa-gesa. Usia berubah. Tanggapan beranjak. Pemahaman pun semakin matang.
1 Syawal bagi umat Islam ialah perayaan kemenangan! Kemenangan menahan makan dan minum yang berlanjutan berbulan-bulan dalam setahun. Kemenangan mengekang segala bentuk nafsu, keinsafan akan kesukaran ditanggungi orang lain, kesedaran peri besarnya segala bentuk anugerah Allah kepada umat dan Ramadan menjadi jambatan keimanan yang teguh menuju usap kasih Ilahi.
Pada hari raya atau sambutan 1 Syawal ini, umat Islam diharamkan berpuasa. Masyarakat bukan Islam kemudiannya mulai memahami kedudukan ini.
Diam-diam saya berfikir, benar ada hikmahnya. Kelegaan yang Allah berikan diraikan dengan penuh rasa syukur. Kami kanak-kanak tidak memahami kecuali melihat kegembiraan, ia sebenarnya kesyukuran. 1 Syawal atau sambutan Aidilfitri bagi umat Islam merupakan perayaan kemenangan melawan segala hasutan syaitan sepanjang Ramadan, mensyukuri nikmat Tuhan dan ia hari mengukuhkan silaturahim penuh kenikmatan.
1 Syawal disambut solat di masjid yang menjadi amalan umat Islam. Pandangan umum – terutama bagi masyarakat bukan Islam bahawa Aidilfitri seumpama pesta lama kelamaan terhakis apabila mengetahui bahawa solat sunat Aidilfitri sentiasa pula ditunggu-tunggu umat Islam. Bukan segala jenis jamuan dan majlis meraikan.
ISLAM SANGAT TERBUKA
Berpakaian cantik hanyalah manifestasi. Bersukaria barangkali sekadar gambaran. Makan minum menjadi simbolik kerana ada tetamu diraikan, sanak-saudara bertandang dan tidak kurang pentingnya, rakan atau kenalan yang turut diundang.
Islam sangat terbuka dalam hal ini. Toleransi Islam jika direnungi sangatlah menakjubkan.
Kunjung-mengunjungi, saling bertanya khabar, rakan taulan ini ikut berpakaian indah-indah, penuh hormat dan kesantunan menjadi tradisi masyarakat kita di Malaysia. Kefahaman yang kian mengukuh tentang banyak perkara berkaitan Islam dalam kalangan masyarakat kita tambah memudahkan. Sesuatu yang dilarang dan ditegah agama sudah tentu difahami kenalan bukan Islam yang bertandang.
Kemuliaan Aidilfitri kemudian saya fahami kerana Allah menjadikan 1 Syawal ini juga satu hari kemenangan bagi umat Islam yang berjaya mengharungi satu ibadah panjang penuh di bulan keberkatan. Sedekah diberi. Kebaikan ditawarkan. Bahkan bagi umat Islam, sebelum tiba Aidilfitri pun pelbagai sumbangan dikeluarkan. Tidak terkecuali segala bentuk amal jariah yang mendatangkan pahala.
Tradisi kunjung-mengunjungi telah sebati dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Ia disertai dengan penuh rasa hormat.
Aidilfitri kini diraikan semua. Sambutan Aidilfitri Perdana antaranya menjadi satu mekanisme ke arah menjambati hati nurani bangsa Malaysia. Kefahaman mendalam masyarakat bukan Islam, juga menjadi nikmat yang lain apabila Islam semakin dihormati. Selanjutnya, kefahaman yang meneguh tentang Aidilfitri memperlihatkan satu penerimaan yang tentunya berimpak terhadap sifat beragama. Aidilfitri pastinya satu ruang lain mewajahkan keindahan Islam – rahmat sekalian alam!
PROF. DR. LIM SWEE TIN ialah sasterawan, ahli bahasa dan penggiat budaya.











