ALOR SETAR – Ahli-ahli UMNO di semua peringkat perlu mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menang dan menjadi kerajaan semula jika hendak memastikan parti itu terus kekal relevan pada masa depan.
Peringatan itu dinyatakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memberitahu, mereka perlu mengelak daripada merasakan lemah dan kekurangan bila berhadapan dengan parti lawan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, keinginan menang dan menjadi kerajaan semula penting agar parti keramat orang Melayu tersebut dapat meneruskan perjuangannya membela agama Islam dan kaum itu.
“Kita mahu semua lapisan ahli dan di kampung-kampung mempunyai keyakinan terhadap UMNO bahawa parti ini mampu bangkit semula untuk menang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Pokok Sena di Bangunan UMNO di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Said Ali Syed Rastan.
Sementara itu, Mahdzir semasa dalam sidang akhbarnya selepas majlis tersebut turut meminta ahli-ahli UMNO supaya mengurangkan budaya ‘mengipas’ ketua mereka bagi mengelak perpecahan dalaman di dalam parti.
Katanya, budaya tersebut diakui telah menyebabkan berlakunya perpecahan dalaman parti yang menjadi antara punca kekalahan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu selain penipuan manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH). – UTUSAN ONLINE











