KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Pusat selepas membuat keputusan memberi bantuan khas sebanyak RM300 kepada 112,635 peneroka Felda sebagai persiapan Aidilfitri.
Perkara itu dimaklumkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad Fadil, Seri Paduka bertitah, bantuan tersebut diharapkan dapat membantu dan mengurangkan beban peneroka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Katanya, Seri Paduka turut bertitah bahawa Kerajaan Pusat dan negeri sedang berusaha mencari alternatif dan sumber-sumber lain untuk meningkatkan hasil peneroka.
“Seri Paduka Baginda dapat merasai dan memahami kedudukan masyarakat peneroka ketika ini dan berharap mereka memberi kepercayaan kepada pengurusan baharu Felda serta kerajaan mencari jalan keluar daripada masalah berkenaan secepat mungkin.
“Kerajaan sedang berusaha membaik pulih dan berharap semua peneroka Felda bersabar serta bermuhasabah kerana turun naik harga kelapa sawit dan komoditi lain mengikut kitaran ekonomi global,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE.











