Aduh! Sakitnya - Utusan Malaysia

Aduh! Sakitnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING – Seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun menempuh detik mencemaskan apabila lehernya tertusuk jeriji pagar berhampiran kaunter farmasi sebuah hospital di sini semalam.

Difahamkan, warga emas itu datang ke hospital berkenaan pada pukul 6 pagi bersama anak lelakinya untuk rawatan berikutan terdapat pendarahan pada saluran najis.

Bagaimanapun, sementara menunggu ubat di kaunter farmasi tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari, mangsa tiba-tiba pengsan dan terjatuh pada jeriji pagar berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anak mangsa yang enggan dikenali memberitahu, dia hanya menyedari kejadian menimpa bapanya itu setelah terdengar jeritan orang ramai yang mengerumuni bapanya.

Katanya, dia amat terperanjat apabila mendapati bapanya berada dalam keadaan melutut dengan leher telah tertusuk pada jeriji pagar tersebut.

“Sebelum kejadian, saya ke kaunter farmasi untuk mengambil ubat dan apabila selesai urusan tersebut, saya mencari bapa yang berada di kawasan berhampiran.

“Saya terkejut apabila melihat ramai orang mengelilingi bapa dan sebaik sahaja menghampirinya, saya nampak leher bapa telah tertusuk jeriji dan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, bapanya yang parah dan tidak sedarkan diri itu telah diberi bantuan segera oleh doktor dan petugas hospital dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Bapa kini dalam keadaan stabil dan dia masih berada di hospital untuk rawatan lanjut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini