Acara basikal trek di Sukan SEA semakin terancam - Utusan Malaysia

Acara basikal trek di Sukan SEA semakin terancam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN penganjur Sukan SEA 2019 di Filipina enggan menyenaraikan acara berbasikal trek gara-gara tidak memiliki velodrom di negara mereka telah menyebabkan sukan itu berdepan kemungkinan tidak dianjurkan lagi pada edisi akan datang.

Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill melahirkan rasa bimbangnya mengenai tuan rumah Sukan SEA akan datang mungkin mengambil keputusan untuk tidak mempertandingkan sukan itu apabila tidak mampu menyediakan velodrom.

Tegas beliau, mana-mana negara yang berhasrat untuk menganjurkan temasya dwitahunan tersebut perlu membina dan menyediakan velodrom memandangkan sukan dua roda itu merupakan acara wajib dalam temasya-temasya terbesar dunia seperti Sukan Olimpik dan Sukan Asia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pada pendapat saya, mana-mana negara yang berhasrat menjadi tuan rumah Sukan SEA perlulah memiliki velodrom. Kita sedar pembinaan velodrom menelan belanja yang sangat besar sehingga mencecah RM334 juta dan ada negara yang tidak mampu membiayainya.

“Bagaimanapun, kegagalan beberapa negara Asia Tenggara dalam menyediakan velodrom apabila menjadi tuan rumah akan menyebabkan acara berbasikal trek terpaksa digugurkan. Bagi saya, ia tidak wajar kerana berbasikal trek adalah sukan teras,” katanya baru-baru ini.

Ketiadaan acara tersebut pada Sukan SEA Filipina juga sedikit sebanyak mengecewakan kontinjen negara kerana sukan berbasikal trek sering menjadi lubuk emas negara selepas mengutip 11 pingat emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Bagi mengelak ia tidak dipertandingkan pada penganjuran akan datang, Amarjit menggesa Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) agar lebih tegas serta mewujudkan peraturan baharu dalam syarat penganjuran.

“Saya fikir SEAF perlu lebih tegas dalam hal ini dengan wujudkan satu peraturan baharu. Acara ini merupakan sukan teras, kerana ia diadakan di Sukan Olimpik dan Sukan Asia,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini