78 PATI warga Nigeria ditahan Imigresen - Utusan Malaysia

78 PATI warga Nigeria ditahan Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sanggup mempertaruhkan nyawa dengan menyorok di luar balkoni tingkat lapan sebuah apartment semata-mata untuk mengelak daripada ditahan Imigresen dalam serbuan di sekitar Kajang, dekat sini semalam.

Selain itu, terdapat beberapa warga Nigeria yang enggan memberi kerjasama hingga menyebabkan beberapa anggota dan pegawai Imigresen cedera ketika bergelut untuk menahan mereka.

Itu antara senario yang berlaku dalam operasi bersepadu yang dijalankan kira-kira pukul 10.30 malam oleh 96 pegawai Imigresen, 14 pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil serbuan tersebut, pihaknya berjaya menahan 78 warga Nigeria yang juga merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Selain warganegara Nigeria, kita turut menahan enam warga Filipina, masing-masing seorang dari India, Pakistan serta empat orang kanak-kanak.

“Kesemua PATI yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, pas tamat tempoh, dan menjalankan perniagaan,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi dekat sini.

Menurut Khairul Dzaimee, maklumat diterima berdasarkan aduan penduduk tempatan yang berasa tidak selesa kerana PATI sering membuat bising serta mabuk.

Jelasnya, terdapat beberapa PATI yang enggan memberi kerjasama sehingga menyebabkan pihaknya terpaksa memecahkan pintu unit kediaman untuk menahan mereka.

“Kami juga menemui komputer riba yang memaparkan maklumat mencurigakan dan dipercayai mereka sedang menjalankan aktiviti penipuan terhadap warga tempatan,” ujarnya

Sementara itu, Khairul memberitahu, pihaknya turut menahan 40 PATI dalam serbuan berasingan yang dilakukan di Puchong, dekat sini.

Tambahnya, kesemua tahanan akan dibawa ke lokap Imigresen Putrajaya sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen di Bukit Jalil atau Semenyih. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini