KUALA LUMPUR – Sejumlah 70 asnaf menerima manfaat daripada program Bakul Kasih Ramadan yang dilaksanakan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) sempena majlis penyerahan bantuan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras di sini bagi meringankan beban mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Yang Dipertua Isma Kuala Lumpur, Dr. Osman Md. Rasip berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu terpanggil untuk meringankan beban golongan tersebut dan kumpulan miskin tegar bandar menjelang Hari Raya Aidilfitri dengan menyalurkan sumbangan berupa wang tunai sebanyak RM200, beras serta beberapa jenis barangan keperluan asas lain.
Katanya, kumpulan penerima itu terdiri daripada mereka yang mengalami masalah kecacatan atau orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal, miskin tegar dan daif.
“Alhamdulillah, hari ini kami dari Isma Kuala Lumpur berjaya menyampaikan sumbangan kepada lebih 70 orang asnaf yang memerlukan bantuan sempena menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak berapa lama lagi.
“Semoga dengan bantuan diberikan ini dapat meringankan beban dan menceriakan lagi sambutan hari raya mereka bersama ahli keluarga tercinta, sekali gus membuktikan umat Islam tidak pernah melupakan saudara seIslam menjelang hari yang penuh kebahagiaan,” katanya yang ditemui di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Desa Tun Razak, Anuar Sudin dan Pengarah Program yang juga Pengerusi Isma Bandar Tun Razak, Mohd. Hatta Mohd. Dah.
Mengulas lanjut, Osman berkata, bagi penganjuran Bakul Kasih Ramadan yang dilaksanakan itu, Isma Kuala Lumpur berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM20,000 daripada orang ramai dan tajaan daripada peniaga-peniaga butik Muslimah seperti Fana Couture, Zoffya, Rina Salleh Clothing.
Tambahnya lagi, sebuah NGO lain iaitu Yayasan Ikhlas turut sama terpanggil membantu golongan tidak bernasib baik itu, sekali gus membolehkan sumbangan lebih besar dapat diberikan kepada kumpulan sasar tersebut.
Menurutnya, hasil daripada kutipan derma tersebut turut disumbangkan kepada ibu kepada tujuh anak, Marsyila Zakaria yang tular sebelum ini kerana memberi makan nasi berlauk garam selama tiga hari kerana tiada wang membeli makanan serta pernah menebalkan muka mengetuk pintu rumah jiran meminta telur bagi dimasak secara hancur-hancur kepada anak-anak.
“Syukur kepada Tuhan kerana dalam tempoh tidak sampai seminggu, kami berjaya memperoleh sumbangan berjumlah RM20,000 daripada orang ramai bagi disumbangkan kepada kumpulan asnaf di PPR Desa Tun Razak dan Puan Marsyila yang berhadapan masalah kewangan.
“Kami di Isma Kuala Lumpur ingin mengucapkan ribuan terima kasih tidak terhingga kepada mereka yang telah sudi menghulurkan sumbangan dan derma untuk program Bakul Kasih Ramadan ini. Semoga Allah membalas jasa baik kalian semua,” katanya. – UTUSAN ONLINE










