BAGI orang awam (pemilik telefon pintar dan pelayar internet tegar), teknologi generasi kelima (5G) bererti kelajuan tinggi atau kepantasan seperti kilat memuat turun atau memuat naik video, filem, lagu dan penghantaran mesej menerusi aplikasi pilihan mereka. Jika kelajuan 4G adalah sekadar 100,00 kbps (kilo bit per saat), kelajuan 5G boleh mencecah seratus kali ganda, melebihi 1gbps (giga bit per saat).
Bagi industri, pengawal (regulators) dan kerajaan, 5G menimbulkan pelbagai persoalan undang-undang yang memerlukan jawapan. Sementara itu, ada pula pihak lain mempersoalkan apakah risiko bahaya 5G itu seimbang dengan manfaat 5G yang kita harap akan terima pada masa depan?
Sebuah portal berita luar negara (www.zdnet.com) menyifatkan teknologi 5G sebagai satu perjudian besar mengenai masa depan teknologi transmisi (a huge gamble on the future of transmission technology).
Seorang ahli akademik tempatan berpendapat pada masa ini belum ada peranti pintar dalam pasaran yang boleh menerima isyarat 5G kerana teknologi baharu ini masih lagi melalui proses ujikaji. Pendapat ini disetujui oleh kepimpinan negara.
Pada 18 April lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia mampu memanfaatkan sepenuhnya teknologi 5G ini dalam tempoh tiga tahun lagi untuk melonjakkan ekonomi negara ke arah lebih kukuh dan mapan.
Tambahnya lagi, kerajaan sudah pun membentuk Pasukan Petugas 5G pada November 2018 bagi mengenal pasti potensi yang boleh diperoleh daripadanya. Migrasi (peralihan) dari 4G ke 5G ini tidak boleh dilakukan dalam masa singkat kerana ia memerlukan penyelidikan dan pembangunan yang lama.
Seiring dengan pembentukan pasukan petugas itu, kerajaan telah memulakan Rancangan Fiberisasi dan Penyambungan Nasional (NFCP) untuk memastikan kesediaan dan penggunaan teknologi 5G tepat pada masanya. Dalam bahasa mudah, pembinaan infrastruktur untuk 5G telah pun dimulakan.
PERTAMA DI DUNIA
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berpendapat, Malaysia boleh melancarkan teknologi 5G secara besar-besaran menjelang 2021. Pada masa ini, kerajaan sedang menjalankan ujian perintis pelaksanaan teknologi 5G di Cyberjaya dan Putrajaya, sekali gus menjadikan Malaysia antara negara pertama di Asia dan di dunia melaksanakan 5G.
Ujian perintis selama enam bulan ini membabitkan 108 peserta industri, agensi kerajaan dan ahli akademik. Hasil ujian perintis ini akan membantu kerajaan menggubal dasar pelaksanaan teknologi 5G di negara ini. Kenyataan menteri ini bermakna dasar 5G belum lagi sempat digubal. Dasar perlu ada sebelum satu undang-undang baharu boleh difikirkan.
Pembangunan 5G bergantung kepada satu infrastruktur baharu, small cells dibina terlebih dahulu yang fungsinya adalah mengutip dan memancarkan signal dalam jarak dekat antara satu sama lain. Pembinaan infrastruktur small cells ini memerlukan satu set peraturan baharu diwujudkan kerana ada banyak isu yang mesti diperjelaskan.
Beberapa kerajaan negeri di Amerika Syarikat sudah pun menggubal undang-undang sedemikian termasuklah Arizona, Colorado, Florida, Hawaii, Tennessee, Texas dan Virgina. Di Hawaii, undang-undang baharu mengenai infrastruktur small cells ini diluluskan pada 21 Jun 2018.
Kelajuan tinggi pemindahan data akan menghasilkan satu sambungan kekal (permanent connectivity), menggalakkan Internet of Things (IoT) dan mewujudkan beberapa produk baharu dalam pasaran. Pendek kata, teknologi 5G boleh mewujudkan smart vehicles, cities and factories (kereta, bandar dan kilang pintar). Perkembangan begini memerlukan satu lanskap undang-undang yang serba baharu.
PENGINTIPAN SIBER, PENCEROBOHAN DIGITAL
Pada Januari lalu, media tempatan memetik Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin sebagai berkata, kita perlu berhati-hati dengan teknologi 5G kerana ia boleh disalahguna untuk menjalankan pengintipan siber dan pencerobohan digital negara.
Menyuarakan kebimbangan sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, ATM kini sedang mengkaji dan mengenal pasti ancaman terhadap keselamatan negara daripada teknologi 5G ini. Tambahnya lagi, kita tidak mahu apa yang dipanggil sebagai destructive technology ini membahayakan negara.
Kebimbangan mengenai impak teknologi 5G kepada keselamatan juga dirasakan di luar negara. Pada Januari lalu, Menteri Pertahanan United Kingdom ada menyatakan bahawa pengharaman teknologi 5G Huawei perlu dilakukan atas alasan keselamatan. Sebuah syarikat telekomunikasi di negara itu (BT Group) menyatakan Huawei tidak layak untuk menyediakan infrastruktur 5G di negara tersebut. Pendirian kerajaan United Kingdom ini sama dengan pendirian kerajaan New Zealand dan Australia.
Selain isu keselamatan negara, kebimbangan impak buruk 5G kepada alam sekitar juga disuarakan oleh sekumpulan pakar sains, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dan orang awam yang telah menghantar petisyen kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyeru dihentikan segera pembinaan rangkaian 5G. Mereka mendakwa rangkaian 5G mengancam kesihatan rakyat disebabkan bahaya radiasi.
Dari aspek kebaikannya pula, penyokong teknologi 5G menyatakan perkembangan teknologi baharu ini boleh memanfaatkan penjagaan kesihatan, pengangkutan, komunikasi dan keselamatan awam. 5G juga akan membantu meningkatkan penguatkuasaan undang-undang yang lebih mantap, seperti membekalkan peralatan canggih kepada pihak berkuasa berkaitan (misalnya dron polis dan body camera yang dipakai oleh pegawai polis semasa menjalankan siasatan).
Bagi penyedia dan pembekal 5G (syarikat telekomunikasi) pula, antara tanggungjawab besar yang mereka hadapi adalah menjamin keselamatan data peribadi dan privasi diri pelanggan mereka.
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.











