PULAU PINANG – Sebanyak 29 daripada 35 kes rakaman klip video membabitkan pelbagai kesalahan jenayah yang tular dalam media sosial sejak Januari hingga Mei lalu berjaya diselesaikan pihak polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis berjaya menyelesaikan kes jenayah berkenaan menerusi hasil maklumat orang awam yang menularkan rakaman jenayah itu ke laman sosial sehingga suspek berjaya ditangkap.
“Daripada kesemua kes yang ditularkan polis menahan seramai 87 individu untuk siasatan lanjut.
“Selain itu, seramai 25 individu telah dituduh di mahkamah manakala yang lain masih menunggu tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) di sini hari ini.
Menurut beliau antara kes tular yang berjaya diselesaikan adalah membabitkan jenayah pemerasan, ugut,samun, merusuh, curi motosikal dan penderaan kanak-kanak.
“Pihak polis ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat serta warga maya yang bertindak pantas menularkan kes-kes ini.
“Malah ada juga menyalurkan maklumat selepas menonton klip video yang ditularkan hingga tertangkapnya suspek,” katanya.
Dalam pada itu, Huzir berkata, pihak polis menyeru orang awam supaya terus membantu pihak polis dengan memaklumkan kejadian jenayah yang berlaku di kawasan mereka melalui laman sosial Facebook dan Twitter PDRM atau Whatsapp di talian 019-3019930. – UTUSAN ONLINE











