KUALA LUMPUR- Sebanyak 21 lagi kematian dicatatkan pada hari kelima Op Selamat 15 semalam menjadikan angka korban keseluruhan setakat ini adalah 90 orang.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata, Selangor terus mencatatkan jumlah korban paling ramai iaitu 13 orang diikuti Johor (11); Sarawak dan Perak (masing-masing 10); Kedah (9); Kelantan (8) dan Pahang (7).
Katanya, Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah pula masing-masing empat orang; Terengganu (3), Melaka (2) dan Kuala Lumpur pula seorang.
“Sebanyak 8,454 kemalangan dilaporkan dengan 84 adalah kemalangan maut dan 121,590 saman dikeluarkan dalam tempoh sama.
“Kes pecah rumah dan premis juga meningkat kepada 208 kes di seluruh negara dengan kediaman paling banyak iaitu 131 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis memberi tumpuan kepada enam kesalahan utama dalam Op Selamat 15bermula 29 Mei lalu sehingga 12 Jun depan.
Enam kesalahan itu adalah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.-UTUSAN ONLINE











