KOTA TINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot dan dua lelaki warga asing yang disyaki terlibat mencuri barang-barang lusuh daripada sebuah kapal dagang di Perairan Johor Timur di sini pukul 3 pagi semalam.
Kedua-dua lelaki warganegara Indonesia berusia 27 dan 29 tahun itu diberkas ketika memunggah barang-barang di atas sebuah kapal pada kedudukan 2.9 batu nautika selatan Teluk Rumania.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, semasa kejadian, pada awalnya dua buah bot bersama-sama empat individu ditahan.
“Semasa perjalanan untuk dibawa ke jeti Pos Maritim Pengerang sebuah bot bersama dua individu berjaya meloloskan diri ke perairan Indonesia ketika pihak Maritim Malaysia sedang melakukan pembaikan pada satu bot yang hampir tenggelam.
“Hasil kerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia iaitu Asintel Danlantamal IV dan Bakamla, kedua-dua mereka berjaya ditahan di Indonesia pada petang semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Sanifah berkata, modus operandi yang digunakan kumpulan berkenaan sama seperti kejadian-kejadian lalu umpamanya kes di Pulau Kukup, Pontian yang menyasarkan kapal-kapal yang bergerak perlahan.
Jelasnya, mereka melakukan aktiviti berkenaan secara berkumpulan namun tidak menggunakan senjata.
“Barang-barang yang biasanya dicuri adalah besi buruk atau apa-apa sahaja barang yang mudah diambil seperti tali dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN ONLINE











